Pas ajak UMNO kembali hayati iltizam Muafakat Nasional
KUALA LUMPUR - Pas hari ini mengajak ahli parlimen UMNO yang dikatakan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menghayati hasrat dan iltizam yang disepakati UMNO dan Pas di bawah kerjasama Muafakat Nasional.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Muafakat Nasional diwujudkan atas dasar dan matlamat menyatupadukan umat Islam di negara ini selain mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang disertai PKR, DAP dan Amanah.
Justeru, jika benar spekulasi bahawa sebahagian ahli parlimen UMNO berubah sokongan, maka mereka jelas tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam piagam Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 Sept 2019, katanya dalam kenyataan.
Takiyuddin juga berharap kepimpinan UMNO dapat memberikan penjelasan berhubung spekulasi itu.
Sekiranya perubahan sokongan ini benar-benar berlaku, ini adalah gerakan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibina atas muafakat Barisan Nasional (BN), Bersatu, Pas, Parti Gabungan Sarawak serta beberapa parti lain, katanya.
Rabu lepas, Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mendapat sokongan yang “kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.
Pada hari sama, Presiden UMNO dan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui mendapat maklumat ada beberapa ahli parlimen UMNO menyokong Anwar.
Ahmad Zahid juga dilaporkan berkata, sokongan ahli Dewan Rakyat UMNO terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersifat individu kerana UMNO dan BN bukan parti komponen PN.
Rabu lalu, Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mendapat sokongan yang 'kukuh dan meyakinkan' untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN.
Ia kemudian disusuli laporan media yang mendedahkan senarai 19 Ahli Parlimen UMNO yang dikatakan menyokong dakwaan Anwar itu.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid kemudian menafikan menyokong gerakan itu, diikuti Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang turut membuat penafian melalui laman media sosial masing-masing. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!