Misi besar pasukan angkat berat Terengganu

Atlet pembangunan sukan angkat berat sedang menjalani latihan. Gambar kecil, Mohd Shafaruddin.
Atlet pembangunan sukan angkat berat sedang menjalani latihan. Gambar kecil, Mohd Shafaruddin.
A
A
A

PASUKAN angkat berat Sukma Terengganu tidak menunggu lama, malah sudah memulakan latihan persediaan bagi mencapai misi besar pada Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor, iaitu memburu sebanyak mungkin pingat emas.

Jika di Sukma 2018 mereka membawa pulang 2 emas, 3 perak dan 7 gangsa, kali ini Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Terengganu (PBBABT) menyasarkan 4 emas, 6 perak dan 7 gangsa serta muncul antara pasukan terbaik.

Presiden PBBABT, Mohd Shafaruddin Mustafa yang optimis dengan sasaran itu berkata, seramai 26 atlet kini mula berlatih sebagai persediaan Sukma, dengan 11 atlet tambahan sebagai simpanan.

“Setakat ini, pusat latihan angkat berat yang utama adalah di Majlis Sukan Negara Terengganu (MSNT) manakala 4 pusat latihan lain adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Mengabang Telipot, Kuala Nerus; SMK Seberang Takir, Kuala Nerus; SMK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu dan SMK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu.

“Bagi persediaan Sukma 2020, atlet terpilih akan menjalani latihan sepenuh masa di MSNT manakala atlet pembangunan dari sekolah-sekolah latihan akan dihantar ke MSNT apabila diperlukan,” katanya.

Malah, mereka turut menyambar jurulatih berpengalaman dari Majlis Sukan Negara, Mohd Nor Othman yang dilantik sebagai Ketua Jurulatih Angkat Berat dan akan bertindak sebagai jurulatih Sukma negeri serta dibantu 3 lagi jurulatih iaitu Rahaimee Abd Rahim, Muhammad Amirul Hisham Kamal dan Azmer A Rahman.

Bagi jurulatih pembangunan negeri pula dipimpin oleh Mohd Fazli Dollah dan dibantu 4 jurulatih iaitu Azhari Ghazali, Mohd Nazirul Adzmi, Siti Fatihah Abdullah dan Che Mohd Azrol Che Mat.

“Memandangkan ketua jurulatih baharu memimpin pasukan, kita jangkakan akan ada sedikit perubahan daripada segi sistem latihan, iaitu dengan selarikan semua program bagi membolehkan kami melihat prestasi atlet secara berterusan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Fasa pertama latihan persediaan bermula

Sementara itu, Pengurus Sukan Angkat Berat (MSNT), Mohd Hilmi Haris berkata, pasukan itu kini di fasa pertama iaitu fasa persediaan.

Mohd Nor (kiri) memantau salah seorang anak buahnya menjalani latihan.
Mohd Nor (kiri) memantau salah seorang anak buahnya menjalani latihan.

“Fasa pertama latihan bermula dari 1 November 2018 hingga 31 Mei 2019, fasa kedua bermula pada 1 Jun hingga 31 Disember 2019 manakala fasa ketiga dari 1 Januari 2020 hingga 30 Jun 2020. Setiap fasa, kita ada 2 kemuncak prestasi untuk pastikan atlet sentiasa berada dalam prestasi yang terbaik.

“Sebelum ini, setiap fasa ada satu puncak sahaja tapi sekarang ini Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu meletakkan satu strategi untuk melihat 2 kemuncak prestasi bagi setiap atlet. Setiap atlet dinilai berdasarkan KPI (petunjuk prestasi utama) setiap bulan, di samping target bagi setiap fasa,” katanya.

Jelas Hilmi, rata-rata atlet angkat berat Terengganu yang akan beraksi pada Sukma 2020 beraksi pada Sukma 2018, menjadikannya satu kelebihan.

Jurulatih berpengalaman bantu capai sasaran

Ketua Jurulatih sukan angkat berat, Mohd Nor Othman, 46, bukanlah satu nama baharu, malah telah melahirkan ramai jaguh angkat berat negara di peringkat antarabangsa.

Berpengalaman selama 24 tahun, Mohd Nor telah melahirkan ramai jaguh angkat berat negara, antaranya ialah pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2006, Mohd Faizal Baharom dan Fatin Atikah yang beraksi pada Temasya Olimpik Remaja di Singapura pada 2010.

Malah, dalam tempoh 15 tahun menerajui sukan angkat berat di Kedah, dia berjaya membawa Kedah menjadi juara keseluruhan berturut-turut (acara angkat berat) dalam 4 kejohanan Sukma.

“Insya-ALLAH, saya akan cuba bawa pasukan Terengganu ini untuk terus kekal cemerlang atau lebih baik daripada sebelumnya.

“Dalam tempoh sebulan ini, saya lihat kemampuan atlet untuk menyaingi Sukma 2020 itu ada, dan kita berkemampuan untuk memperoleh pingat terutamanya pingat emas. Saya lihat ada 5, 6 orang yang berpotensi untuk diketengahkan untuk mencipta sesuatu dalam Sukma 2020,” katanya.

Ditanya mengenai perancangannya, beliau berkata, masih ada kategori yang kosong (tiada wakil) dan dia akan melakukan sesuatu bagi memenuhi kategori berkenaan, seperti atlet perlu menaikkan berat badan atau perlu diet.

“Sukan angkat berat ini kita perlu lihat kepada 2 aspek, iaitu kekuatan dalam latihan dan kekuatan dalam kejohanan. Sesetengah atlet kuat dalam latihan tapi dalam kejohanan dia tidak. Ada atlet dalam kejohanan dia bagus, tapi dalam latihan dia tidak berapa bagus.

“Jadi, saya akan nilai mereka di pentas kejohanan pula selepas ini. Kejohanan pertama untuk mereka mungkin dalam pertengahan tahun ini atau sebelum atau selepas hari raya nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!