Tindakan tegas tangani perbuatan ancam nyawa
SEOUL - Presiden Moon Jae-in memberi jaminan kerajaannya akan bertindak tegas untuk menangani setiap tindakan yang mengancam nyawa dan keselamatan rakyat Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.
Beliau berucap pada majlis sambutan Hari Angkatan Tentera ke-72 di markas Komando Perang Khas di Icheon, wilayah Gyeonggi, susulan laporan mengatakan Korea Utara menembak mati seorang pegawai kerajaan Korea Selatan dan membakar mayat mangsa.
Moon menekankan Korea Selatan akan meningkatkan tahap keselamatan dan pertahanannya.
"(Saya) berjanji kerajaan dan tentera akan bertindak tegas terhadap setiap tindakan yang mengancam nyawa dan keselamatan rakyat," kata presiden dalam ucapannya yang disiarkan stesen televisyen.
Tambah beliau Korea Selatan boleh 'menjaga dan mewujudkan perdamaian' dengan keupayaan pertahanan yang kuat dengan cara sendiri dan tidak dapat diatasi oleh mana-mana pihak.
Dalam ucapannya selama 15 minit itu, Moon sering mengungkapkan perkataan 'damai', tanpa menyebut mengenai Korea Utara.
ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai Korea Selatan hilang ditembak mati di Korea Utara
Pembunuhan rakyat Korea Selatan, Korea Utara masih membisu
Pesawat AS di ruang udara sewaktu pegawai Korea Selatan dibunuh
Pada Khamis, Kementerian Pertahanan Korea Selatan mengatakan seorang penjawat awam berusia 47 tahun yang bertugas dengan Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan ditembak mati oleh pihak Korea Utara. Mayat mangsa kemudian dibakar berikutan kebimbangan terhadap jangkitan koronavirus (Covid-19).
Berikutan itu, Moon mengeluarkan kenyataan mengatakan kejadian itu amat mengejutkan dan ia perbuatan yang tidak boleh diterima walau dengan apa alasan sekalipun.
Beliau mendesak Pyongyang mengambil tindakan terhadap mereka yang 'bertanggungjawab'. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!