Waran tangkap terhadap Azwanddin batal

Azwanddin hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi prosiding pendengaran permohonan komital yang difailkan di terhadapnya.
Azwanddin hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi prosiding pendengaran permohonan komital yang difailkan di terhadapnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim menarik balik permohonan komital terhadap bekas Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Datuk Sankara Nair yang mewakili Teresa selaku plaintif selepas prosiding pengurusan kes dalam kamar di hadapan Hakim Datin Rohani Ismail.

Sankara berkata, anak guamnya menarik balik perkara itu selepas Azwanddin hadir pada prosiding pendengaran permohonan komital yang difailkan terhadapnya.

Dalam masa sama beliau berkata, mahkamah membenarkan waran tangkap terhadap Azwanddin itu dibatalkan.

Untuk rekod, Azwanddin dikenakan waran tangkap pada 28 Ogos lalu setelah gagal hadir pada prosiding komital yang difailkan Teresa.

“Jika defendan tidak datang ke mahkamah hari ini, tindakan boleh diambil tetapi mengenangkan beliau hadir, waran tangkap itu dibatalkan,” katanya selepas pengurusan kes komital di kamar hakim.

Bagaimanapun Sankara berkata, pihaknya memfailkan petisyen penghutang terhadap Azwanddin dan ia akan disebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 16 November depan.

Terdahulu dalam prosiding itu Azwanddin tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Pada 28 Ogos lalu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Azwanddin kerana gagal hadir pada prosiding komital difailkan Teresa Kok terhadapnya

Ia susulan keingkarannya pada arahan mahkamah untuk hadir pada prosiding pendengaran permohonan komital berkenaan.

Permohonan komital itu difailkan selepas Azwanddin dikatakan melanggar terma penghakiman persetujuan dalam kes saman fitnah dikemukakan Kok terhadapnya yang telah diselesaikan secara baik tahun lalu.

Azwanddin didakwa gagal mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga akhbar serta membayar kos kepada menteri itu dalam tempoh 45 hari bermula daripada tarikh penyelesaian kes pada 29 Julai 2019.

Teresa, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 8 Januari 2019 dengan mendakwa Azwanddin menyampaikan ucapan berunsur fitnah secara lisan, fitnah bertulis dan pembohongan dalam satu perhimpunan yang diadakan di Dataran Seni Klang, Selangor pada 25 Disember 2018.

Kes saman itu berhubung ucapan dan kenyataan Azwanddin yang didakwa Teresa mengaitkannya dalam insiden kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!