Ajumi bangga asal suku kaum Temiar
Ajumi J Mizan, 13, berkata, dia tidak kisah dilahirkan dalam kalangan Orang Asli, sebelum diserahkan kepada bapa angkat, Yusoff Md Setapa, 43, sejak berusia setahun.
Menurutnya, dia akan pastikan pengorbanan bapa, J Mizan Mat Dom, 40, dan ibu kandungnya, Assuria Apa, 37, terbalas melalui kecemerlangannya dalam akademik.
“Apak (bapa kandung) selalu pesan supaya rajin belajar, tidak lupa pada keluarga dan banggakan suku kaum Temiar di Kampung Kuala Wok, Gua Musang.
“Saya harap keputusan 3A, 2B dan 1C dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu, membanggakan mereka seterusnya berusaha untuk mengejar cita-cita sebagai arkitek,” katanya, selepas Majlis Penyampaian Tabung Kebajikan sekolah dan JPN Kelantan di SMK Salor, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Muhammad Zahari Othman berbangga dengan pencapaian akademik Ajumi dan berharap dia dapat mengulangi kejayaan di masa depan.
Bagi meringankan beban keluarga, beliau berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan Tabung Kebajikan JPN Kelantan kepada Ajumi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!