PRN Sabah: Sediakan payung sebelum mengundi esok
KOTA KINABALU - Cuaca diramalkan hujan di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, Kudat, pedalaman dan Sandakan pada pagi hari pengundian Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, esok.
Menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi, di kawasan lain pada sebelah pagi tiada hujan tetapi berlaku ribut petir di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, pedalaman dan Sandakan pada sebelah petang.
Pada sebelah malam, diramalkan hujan di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, Sandakan dan pedalaman.
Suhu pula diramalkan antara 22 darjah Celsius hingga 33 darjah Celsius.
SPR menggalakkan orang ramai keluar mengundi seperti yang disarankan pada kad mengundi namun jika tidak dapat hadir pada masa tersebut, mereka boleh keluar mengikut masa yang ditetapkan dari 7.30 pagi hingga 5 petang.
Seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa layak mengundi esok dengan bakinya merupakan pengundi pos.
Terdapat 2,540 saluran dibuka di 741 pusat mengundi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!