APMM patah cubaan seludup rokok RM213,000

Bot bersama rokok seludup yang dirampas selepas cuba diseludup masuk melalui muara Kuala Kuantan di sini, awal pagi tadi.
Bot bersama rokok seludup yang dirampas selepas cuba diseludup masuk melalui muara Kuala Kuantan di sini, awal pagi tadi.
A
A
A

KUANTAN- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang berjaya mematah cubaan menyeludup rokok dianggarkan bernilai RM213,000 yang cuba dibawa masuk melalui Muara Kuala Kuantan di sini, awal pagi tadi.

Bot gentian kaca dinaiki dua lelaki itu dikesan kira-kira jam 2 pagi oleh sepasukan anggota yang sedang melaksanakan rondaan Operasi Makmur di kawasan tersebut.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Amran Daud, berkata, bot terbabit dikesan melalui pesisiran pantai menuju masuk ke Sungai Kuantan dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, bot berkenaan kemudian berhenti di tepi tebing, pada masa sama kelihatan ada kenderaan lain menunggu di tepi sungai untuk mengambil barang.

"Sebaik sahaja mereka menyedari kehadiran anggota APMM, semua lelaki berkenaan berlari menaiki kenderaan tersebut dan terus melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan lanjut di atas bot yang ditinggalkan mendapati terdapat 32 kotak berisi 320 ribu batang rokok putih disyaki rokok tidak bercukai atau rokok seludup," katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.

Amran berkata, pihaknya percaya rokok seludup itu cuba dibawa masuk diedarkan di pasaran tempatan.

"Nilai rokok yang dirampas dianggarkan bernilai RM 213,000 termasuk cukai.

Artikel Berkaitan:

"Turut dirampas bot bersama enjin 40 kuasa kuda dianggarkan bernilai RM 220,000," katanya.

Amran berkata, semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat APMM Pahang dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

Tambah beliau, pihaknya akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut bagi memastikan sebarang kesalahan dan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras.

"Usaha ini bagi memastikan perairan Pahang sentiasa selamat, aman dan terkawal.

"Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berhubung perlanggaran undang-undang di laut diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!