PRN Sabah: Musa Aman kembali berkempen di Sungai Manila

Musa (tengah) ketika hadir di masjid Sg Manila selepas ceramah dan kempen untuk calon Barisan Nasional DUN Sg Manila. - Foto Facebook Musa Aman
Musa (tengah) ketika hadir di masjid Sg Manila selepas ceramah dan kempen untuk calon Barisan Nasional DUN Sg Manila. - Foto Facebook Musa Aman
A
A
A

SANDAKAN - Tinggal beberapa jam sahaja lagi untuk berkempen, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman kembali ke kawasan di mana beliau menjadi wakil rakyat sejak 1994 dan menasihati pengundi agar menjaga diri semasa mereka keluar mengundi esok.

“Saya meminta agar orang ramai (pengundi) apabila keluar mengundi, mereka perlu menjaga kesihatan diri mereka dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“(Amalan kesihatan) Ini penting kerana nyawa anda adalah penting. Berhati-hatilah, kekal selamat dan jaga kesihatan diri anda,” kata beliau ringkas kepada pemberita semasa berjalan menuju ke kenderaannya selepas berucap di program bersama rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila hari ini.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Sungai Manila iaitu Mokran Ingkat dan calon BN bagi DUN Gum-Gum, Suhaimi Nasir.

Kehadiran Musa di program itu disambut dengan tepukan gemuruh para penyokongnya di Sungai Manila yang turut melaungkan ‘Musa Aman’ ketika beliau berjalan ke pentas.

Terkenal dengan pantunnya yang puitis, para hadirin ‘dihadiahkan’ dengan lima pantun pendek antaranya didedikasikan kepada penduduk Sungai Manila, sebuah kerusi DUN baharu yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada DUN Sungai Sibuga di mana Musa adalah penyandangnya.

“Sungai Manila, orangnya periang. Bikin hati lagi senang. Jasa kamu ‘tatap’ ku kenang. Ku simpan di hati, ‘tatap’ ku sayang.

“Berjalan-jalan berbatu-batu. Singgah sebentar di Kampung Melati. Walau jauh beribu batu, orang Sungai Manila tetap di hati,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Musa berkata beliau telah menjelajah ke 15 lokasi setakat ini bagi membantu Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam kempen mereka pada Pilihan Raya Negeri ke-16 dan gembira melihat rakyat begitu teruja serta bersemangat untuk menukar kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas keprihatinan dan perhatiannya kepada rakyat Malaysia termasuk di Sabah, terutama semasa penularan pandemik koronavirus (Covid-19)

“Beliau (Muhyiddin) menghulurkan bantuan semasa kita memerlukan. Kami ingat dan tahu bagaimana membalas jasa baik seseorang,” katanya sambil menambah bahawa pengundi harus bijak membuat pilihan.

Musa dijangka menghadiri satu lagi program bersama rakyat di Sungai Sibuga petang ini, yang terakhir dalam siri jelajahnya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!