Wanita gantung diri kerana masalah kewangan, kata polis
DUNGUN - Perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba bagaikan tiada erti bagi seorang suami apabila kehilangan isterinya dalam sekelip mata.
Wanita berusia 53 tahun tersebut bertindak menggantung dirinya dalam kejadian di kampung Nyior, Paka, petang semalam.
Lebih hiba, sebelum kejadian, mangsa sempat berpesan kepada suaminya supaya menjaga anak lelaki mereka dengan baik.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, lelaki berusia 59 tahun tersebut terkejut apabila menemui isterinya dalam keadaan tergantung dan sudah tidak bernyawa di kediaman mereka.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa dipercayai bertindak menggantung dan menjerut diri sendiri menggunakan tali rafia yang disambung.
Menurutnya, sebaik sahaja memotong tali, si suami segera membawa jasad isteri ke Hospital Dungun.
"Ketika lelaki tersebut pulang, didapati rumahnya terkunci dari dalam.
"Dia berjaya masuk melalui pintu belakang dan mencari isterinya dan amat terkejut melihat wanita itu berada dalam keadaan tergantung.
"Tali berkenaan diikat pada kayu jerigi di dalam bilik di rumah," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan soal siasat dengan anak mangsa yang berusia 22 tahun, ibunya tertekan kerana mengalami masalah kewangan.
"Anaknya mengakui ibunya pernah mengadu mengalami masalah kewangan hinggakan tidak mampu membeli keperluan harian.
"Tiada pertengkaran berlaku di antara mereka bertiga, malah mangsa sempat berpesan supaya suami menjaga anak lelakinya dengan baik," katanya.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Hasil siasatan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku.
"Pada bulan ini (Januari) sahaja, dua kes kematian mengejut dilaporkan berlaku di Paka.
"Dalam kejadian minggu lepas, seorang peniaga maut apabila bertindak menembak diri sendiri dalam kejadian di Taman Raya, Paka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!