DBKL sasar bina perumahan khas untuk orang bujang, baru kahwin
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan projek pembinaan perumahan khas atau 'council home' untuk disewakan kepada golongan muda yang baru berkahwin dan bujang dijalankan awal tahun depan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, majlis pecah tanah bagi projek berkenaan dijangka dilaksanakan Disember ini.
Menurutnya, sejumlah RM200 juta diperuntukkan bagi pembinaan 1,000 unit rumah menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) di tanah DBKL di Desa Water Park.
"Saya mahu projek ini sudah dijalankan sebelum saya tamat perkhidmatan. Saya harap setiap Parlimen mempunyai kemudahan ini dan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.
"Dengan keluasan 750 kaki persegi dan kemudahan tiga bilik tidur akan membantu golongan muda mendapatkan rumah sewa dengan harga berpatutan di kawasan bandar," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Terdahulu, cadangan pembinaan council home dikemukakan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 2013 sebagai kemudahan penempatan buat golongan muda yang baru bekerja di Kuala Lumpur.
Beberapa kawasan dikenal pasti untuk penempatan itu, antaranya di Keramat, Bukit Bintang, Kampung Kerinchi, Sentul, Hartamas, Bukit Kiara dan Segambut.
Nor Hisham berkata, council home berbeza dengan konsep perumahan awam yang mana tempoh sewaan adalah bersifat sementara dan dihadkan untuk tempoh masa tertentu.
"Ada syarat yang akan dikenakan termasuk tempoh sewaan kita tetapkan antara tiga tahun atau lima sahaja, sebelum digantikan dengan penyewa lain.
"Perumahan awam juga sepatutnya hanya lima tahun sahaja, namun ramai yang memberikan alasan masih pada tahap kurang berkemampuan menyebabkan mereka menetap melebihi tempoh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!