Bimbinglah remaja kita

No Image Caption
A
A
A

TIDAK dinafikan, hal remaja sudahpun menjadi isu global. Hakikatnya, golongan remaja sangat penting bagi sesebuah negara kerana merekalah nanti yang akan menjadi pelapis pemimpin negara. Oleh itu, wacana berkaitan dengan isu-isu remaja tidak pernah terhenti.

Pun begitu, bukanlah sesuatu yang mudah untuk melentur remaja supaya menjadi individu dewasa yang bertanggungjawab, amanah serta matang pada masa hadapan. Namun, kita tidak harus menyerah kalah membimbing mereka walaupun sekali-sekala terasa hendak luruh jantung memikirkan perangai dan kerenah mereka.

Betapa pentingnya golongan remaja, Ibn Khaldun menerusi bukunya Muqaddimah, telah menjelaskan ketamadunan sesebuah negara akan runtuh jika tidak menjaga dan melindungi remaja daripada perkara yang boleh merosakkan nilai dan jati diri mereka. Menurut perspektif psikologi, alam remaja adalah suatu proses hidup antara alam kanak-kanak dan dewasa.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan remaja sebagai individu yang berumur antara 10 sehingga 19 tahun. Namun, terdapat juga pakar perkembangan remaja yang melanjutkan tempoh umur remaja sehingga 21 tahun. Selepas umur tersebut, mereka akan memasuki alam dewasa.

Secara prinsipnya, pada peringkat remaja akan berlaku perubahan biologi, fizikal, mental, emosi serta perubahan tanggungjawab dan sosial. Mereka mula mencari identiti serta inginkan lebih banyak kebebasan.

Selain itu, cenderung untuk mencari pengalaman baharu, meneroka identiti seksual, mudah dipengaruhi dan suka berkomunikasi dengan cara yang berbeza. Kebanyakan mereka tidak rasional dalam berfikir serta membuat keputusan. Malah, sentiasa menuntut autonomi sosial daripada keluarga dan masyarakat serta tidak suka mengambil bahagian dalam fungsi sosial dan keluarga.

Sejajar dengan perubahan tersebut, menjadi tanggungjawab kita untuk menangani situasi berkenaan dengan cara yang berhikmah supaya dapat melahirkan kelompok dewasa yang hebat serta berintegriti. Namun, masih ramai dalam kalangan kita yang begitu ‘manjakan’ anak-anak remaja sehingga nilai-nilai moral yang sepatutnya disemai menjadi terbantut.

Malah, kita menjadikan mereka sentiasa menang dalam semua perkara. Walhal, sifat menang itu menyebabkan mereka menuntut autonomi yang lebih daripada kita. Pada jangka masa panjang, kita sebenarnya telah ‘kurang ajar’ dengan anak-anak remaja kerana kurang mengajar kaedah dan persediaan yang sepatutnya dilakukan oleh remaja untuk masuk ke alam dewasa.

Artikel Berkaitan:

Sebetulnya, kita tidak boleh lagi bersifat defensif dengan anak-anak remaja. Kadangkala kita secara tidak sedar telah pertahankan anak-anak remaja yang sudah tidak mesra bersama saudara-mara, kurang bersopan dalam berkomunikasi, tidak pandai bergaul dalam majlis kenduri serta pelbagai peristiwa lagi. Alasan yang diberikan cukup lapuk seperti anak masih malu, kurang matang dan memang perangai dia.

Hakikatnya, dalam jangka panjang, kita sebenarnya merosakkan perkembangan mereka ke alam dewasa nanti. Percayalah, jika anak-anak melebihkan kawan-kawan mereka berbanding susur galur darah daging kita, petanda yang tidak baik boleh menjelma pada masa hadapan.

Daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH SWT memiliki seratus rahmat. Daripada seratus rahmat tersebut, hanya satu yang diturunkan ALLAH SWT kepada jin, manusia, haiwan jinak dan buas. Dengan rahmat tersebut, mereka saling mengasihi dan menyayangi dan dengan rahmat itu pula, binatang buas dapat menyayangi anaknya. Sungguhpun ada 99 rahmat ALLAH SWT yang lain, maka hal itu ditangguhkan kerana ALLAH SWT hanya akan memberikan kepada hamba-Nya yang soleh pada hari kiamat kelak.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ingatlah, jangan terlalu alpa akan nikmat satu peratus di dunia ini.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Pensyarah Psikologi Kaunseling, Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!