Antara poligami dan hidup bujang
PERKONGSIAN seorang wanita, Rosyilah Abd Rashid, 42, yang menemani suaminya untuk berpoligami menarik perhatian netizen baru-baru ini.
Seperti yang dilaporkan Sinar Harian, guru sains di Maktab Mahmud Padang Terap itu bukan sahaja membuat persiapan majlis perkahwinan malah menemani suaminya, Khubaib Ramli, 36, semasa majlis akad nikah di Masjid Kampung Kubang Palas, Kuala Nerang, Kedah Ahad lalu.
Rosyilah berkata, dia turut menjadi tulang belakang dengan membuat persiapan perkahwinan termasuklah menyarungkan cincin ke jari madunya.
Menurut Rosyilah, dia tidak pernah menghalang suaminya berpoligami sama ada dengan anak dara ataupun janda, malah dia sendiri membantu mencari calon isteri lain buat suami.Pak Su lihat banyak perdebatan di media sosial dan alam nyata mengenai tindakan Rosyilah. Ada golongan yang marah-marah dan tidak kurang juga mengecam tindakannya.
Mereka berpandangan ia satu tindakan yang tidak dapat diterima malah menyalahi hukum kekeluargaan kerana suami tidak boleh dikongsi dan suami perlu setia hanya kepada satu isteri.
Tetapi ada juga golongan yang kagum dengan apa yang dilakukan Rosyilah kerana hanya isteri yang berjiwa kental mampu bertindak seperti itu.
Cuma Pak Su tak pasti sama ada wujud golongan yang berangan nak jadi macam suami Rosyilah.
Pak Su ada terbaca kisah Datuk A Aida, 50, yang menolak lamaran suami orang yang ingin menjadikan dia sebagai isteri kedua.
Walaupun tawaran beeserta wang RM20 juta, A Aida dilaporkan tidak mudah menerima lamaran itu kerana enggan mengahwini lelaki berstatus suami orang.
A Aida berkata, walaupun pintu hatinya terbuka untuk menerima kehadiran insan baharu, namun dia enggan mengambil risiko untuk jatuh hati dengan suami orang.
Penerbit drama dan filem itu berkata, dia sudah mempunyai kewangan yang kukuh dan lelaki yang kaya-raya bukan kriteria wajib untuk dijadikan calon suami.
Pada pandangan Pak Su, A Aida kuat berpegang prinsipnya kerana bukan senang hendak menolak tawaran wang ringgit yang banyak itu. RM20 juta macam-macam boleh buat!
Pelakon Zul Ariffin mengakui dirinya berasa tenang kerana masih menjalani kehidupan sebagai seorang lelaki bujang sewaktu negara dilanda Covid-19.
Zul Ariffin berkata keadaan dirinya yang masih solo membawa hikmah tersendiri apabila terhindar daripada sebarang kes perceraian atau konflik rumah tangga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.
Kata pelakon yang terkenal dengan filem J Revolusi itu, walaupun tiga bulan duduk di rumah tak boleh keluar bekerja sepanjang PKP, dia bebas daripada dugaan seperti dialami pasangan yang berumah tangga.
Itu pandangan Zul Ariffin, tetapi ada yang merasakan amat rugi hidup bujang tatkala terperangkap dalam rumah sewaktu tiga bulan PKP.
Orang lain dapat bersama isteri dan bersuka ria bersama anak-anak, yang hidup bujang berasa amat bosan hidup berseorangan.
Akhir kata, setiap manusia mempunyai pandangan dan hala tuju hidup yang berbeza.
Ada yang suka hidup bujang, hidup berpasangan, menjanda, menduda dan macam-macam lagi cara hidup.
Semuanya ada sebab masing-masing kerana tanpa kepelbagaian, hidup akan jadi kusam dan hilang warna-warni kehidupan dunia.
Bayangkan jika semua orang mempunyai minat yang sama, pakai baju yang sama, bercakap intonasi sama yang akhirnya tiada satu pun perbezaan.Oleh itu, Pak Su rasa langkah terbaik ialah hormatilah hak setiap orang di muka bumi ini termasuklah pendapat mereka kerana setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
*PAK SU DO
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!