Pengumuman Anwar beri kesan pelaburan, kestabilan negara

No Image Caption
A
A
A

LANGKAWI - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan dakwaan beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan kerana pengumumannya itu boleh memberi kesan kepada pelaburan, perniagaan serta kestabilan negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pengumuman itu boleh menyebabkan pelabur berasa tidak selamat dan rugi untuk melabur.

"Pelabur akan rasa keadaan tidak menentu apabila hari ini kerajaan lain, esok kerajaan lain pula, lusa tukar kerajaan lain lagi. Saya harap kalau Anwar ada (majoriti) buktikan bahawa dia betul-betul mempunyai cukup bilangan dan kita putuskan perkara itu.

“Tunjuk bukti dan kita sanggup pergi ke Dewan Rakyat nak dengar siapa yang dapat sokongan dan siapa yang tidak mendapat sokongan," kata bekas Perdana Menteri itu kepada pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Bersama Pengerak Pelancongan dan Pengusaha Hotel Langkawi di sini hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson pada sidang akhbar Rabu lalu mendakwa mendapat sokongan yang 'kukuh dan meyakinkan' daripada Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin.

Dr Mahathir menjawab soalan dikemukakan peserta pada Program Sembang Santai Bersama Penggerak Pelancongan dan Pengusaha Hotel Langkawi hari ini. - Foto Bernama
Dr Mahathir menjawab soalan dikemukakan peserta pada Program Sembang Santai Bersama Penggerak Pelancongan dan Pengusaha Hotel Langkawi hari ini. - Foto Bernama

"Anwar dulu pernah buat dakwaan dia ada majoriti, sama juga selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri apabila Yang di-Pertuan Agong minta nyatakan pendirian, dia (Anwar) dakwa ada majoriti sehingga Pakatan Harapan (PH) beri namanya kerana anggap ada majoriti tetapi tidak cukup sebab memang tak ada pun majoriti,” kata Dr Mahathir.

Ditanya sama ada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkannya akan menyokong Anwar sekiranya memiliki majoriti, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, “Anwar dah tolak Pejuang (semasa pengumuman baru-baru ini), dia kata ada majoriti kecuali Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

“Jadi saya ini ditolak terus. Jadi macam mana saya nak sokong dia? Dia dah tolak kita awal-awal lagi," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!