KWSP: Lebih 50 peratus umur 54 tahun simpan kurang RM50,000
ALOR GAJAH - Sebanyak 54 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 54 tahun mempunyai simpanan yang kurang daripada RM50,000 bagi menampung kehidupan mereka selepas bersara.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Operasi KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, secara keseluruhan hanya 34 peratus pencarum aktif KWSP mencapai tahap simpanan asas mengikut umur.
"Sehingga kini KWSP mempunyai 14.6 juta pencarum aktif dan 530,000 majikan dengan jumlah dana yang diuruskan sebanyak RM940 bilion.
“Simpanan asas yang ditetapkan KWSP adalah RM240,000 kerana purata jangka hayat rakyat negara ini kini meningkat kepada 75 tahun dan secara amnya rakyat akan mengharungi tempoh persaraan yang agak lama iaitu sekitar 20 tahun, berdasarkan umur persaraan kebanyakannya berusia 55 tahun.
Keadaan ini membimbangkan dan berkemungkinan menjadi lebih serius pada masa akan datang sekali gus memberi kesan negatif kepada kesejahteraan hidup rakyat dan membebankan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program ‘Financial Well-Being’ dan Insentif i-Suri Peringkat negeri Melaka yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di sini hari ini.
Menurutnya, antara faktor menyebabkan simpanan pencarum masih kurang ialah tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat masih rendah dan agak membimbangkan iaitu sekitar 36 peratus berbanding negara lain seperti Singapura pada kadar 59 peratus dan Myanmar 52 peratus.
"Kita menggalakkan lebih ramai rakyat terutama golongan bekerja sendiri, seperti peniaga dalam talian dan pemandu e-hailing berdaftar di bawah Program Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan) bagi menjamin masa depan terutamanya sepanjang persaraan mereka.
"Sehingga Jun lepas, hanya 255,958 individu dari seluruh negara telah berdaftar di bawah i-Saraan," katanya.
i-Saraan adalah inisiatif kerajaan untuk memastikan golongan bekerja sendiri mempunyai simpanan apabila mencapai umur persaraan dengan membuat bayaran atau caruman secara sukarela mengikut kemampuan dan tidak melebihi RM60,000 setahun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!