TRW Kelantan FC raih tiga mata

Pemain pertahanan TRW Kelantan FC, Mohamad Azwan Aripin (kiri) mengawal ketat pemain Sarawak United, Demerson Bruno pada aksi Liga Primier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi. Foto : Ihsan Hazmin Husin
Pemain pertahanan TRW Kelantan FC, Mohamad Azwan Aripin (kiri) mengawal ketat pemain Sarawak United, Demerson Bruno pada aksi Liga Primier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi. Foto : Ihsan Hazmin Husin
A
A
A

BARISAN pemain The Red Warriors Kelantan FC (TRW Kelantan FC) mengotakan janji meraih mata penuh apabila menewaskan Sarawak United 1-0 pada aksi Liga Primier di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.

Turun dengan misi memburu kemenangan untuk mencari peluang ke saingan Piala Malaysia, TRW Kelantan FC memperagakan rentak meyakinkan apabila hampir meledakkan jaringan pertama pada minit kelapan namun Felix Odili gagal menyudahkan peluang tersebut.

Empat minit berselang, giliran Sarawak United menguji gawang gol tuan rumah menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti oleh Milad Zanidpour, bagaimanapun tersasar.

Aksi seimbang antara kedua-dua pasukan terus diperagakan menerusi beberapa gerak-gerak menarik, namun ketumpulan penyudah menafikan hasrat masing-masing untuk mendapatkan jaringan.

Masuk minit ke-35, tuan rumah terus kempunan untuk mendapatkan jaringan apabila peluang terhidang gagal diterjemahkan barisan serangan tuan rumah.

Penjaga gawang pelawat, Shaiful Wazizi Mohammad menjadi wira apabila berada di kedudukan terbaik untuk menepis rembatan kencang Lazarus Kaimbi dari luar kotak penalti pada minit ke-38.

Minit ke-42, giliran Mohammad Fikri Che Soh pula menjadi wira TRW Kelantan FC apabila menyelamatkan rembatan kencang dari dalam kotak penalti tuan rumah oleh pemain pelawat, Patrick Ronaldhinho.

Keputusan seri tanpa jaringan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Artikel Berkaitan:

Bersambung babak kedua, tuan rumah sekali lagi terlepas peluang untuk memecah kebuntuan jaringan apabila rembatan Mohamad Amirul Shafik Che Soh tersasar dari gol Sarawak United.

Kelibat Patrick Ronaldinho terus menjadi duri dalam daging buat TRW Kelantan FC apabila berjaya melepaskan rembatan kencang, namun Mohammad Fikri lebih tenang untuk menafikan sepakan itu pada minit ke-53.

Minit ke-59, TRW Kelantan FC terus kempunan meledakkan jaringan selepas rembatan kencang dari luar kotak penalti Sarawak United oleh

Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria sekadar melewati palang.

Mohd Amri Yahya yang juga kapten Sarawak United terlepas peluang mencetak gol pertama pasukannya selepas rembatan kencangnya pada minit ke-78 sekadar singgah dipalang meskipun penjaga gawang, Mohammad Fakri sudahpun tertewas.

Pengendali TRW Kelantan FC, Yusri Che Lah bersorak gembira selepas pemain gantian, Mohd Nazrin Nawi tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84.

Keputusan 1-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!