Proses pengundian PRN Sabah berjalan lancar
KOTA KINABALU - Proses pengundian berjalan lancar dengan menyaksikan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi setiap pengundi termasuk memeriksa suhu badan, penjarakkan fizikal serta memakai pelitup muka.
SPR dan Kementerian Kesihatan sememangnya memandang serius cabaran pandemik koronavirus (Covid-19) semasa proses pengundian pada pilihan raya negeri hari ini.
Malah, seorang pengundi yang mempunyai suhu badan tinggi diminta ke khemah khas untuk pemeriksaan lanjut sebelum dibenarkan mengundi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Serusup, Tuaran.
Petugas SPR juga kelihatan bersusah payah untuk memudahkan pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.
Contohnya, petugas SPR dilihat mendukung seorang warga emas lelaki Nursalin Darun, 65, ke saluran mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Garam, Kinabatangan sebaik sahaja tiba di pusat mengundi tersebut.
Bagi pengundi pula, walaupun ada yang terpaksa berkerusi roda dan bertongkat, namun mereka masih tetap komited memastikan suara dan undian mereka turut serta dalam mencorakkan keputusan pilihan raya ini.
Seorang warga emas dari Tuaran, Hasnah Mukai, 70, yang merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman mengambil keputusan untuk keluar mengundi lebih awal kerana beliau tidak mahu bersesak-sesak dengan orang ramai, tambahan pula dalam suasana pandemik Covid-19.
“Makcik sudah tua... Jadi makcik mahu datang awal untuk mengelak penyakit berjangkit. Makcik harap semua pengundi keluar awal untuk mengundi dan tunaikan tanggungjawab kepada negeri Sabah supaya pilihan raya ini lancar. Buatlah pilihan bijak,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pengundian itu.
Seorang lagi warga emas Mary Ogiu, 82, dari Tambunan turut tidak melepaskan peluang keemasan untuk datang lebih awal bagi memilih calon di SK Pekan, Tambunan kira-kira jam 9 pagi tadi.
Sementara itu, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga calon DUN Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa, Kota Belud manakala Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) yang juga calon DUN Moyog, Datuk Darell Leiking pula selesai mengundi di SK Sugud, Penampang pada jam 9.40 pagi.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew, yang juga calon DUN Api-Api, selesai mengundi di SK Sacred Heart, Kota Kinabalu pada jam 10.05 pagi manakala Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Hajiji Noor selesai mengundi pada jam 10.10 pagi di SK Serusup, Tuaran. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!