Calon Warisan curi tumpuan guna PPE ketika mengundi
SIPITANG - Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob mencuri tumpuan apabila menggunakan sut peralatan perlindungan diri (PPE) bagi membuang undi di khemah khas yang disediakan.
Beliau yang mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Mesapol Sipitang membuang undi pada jam 9.30 pagi.
Yusof yang sebelum ini menjalani kuarantin selepas menjadi kontak rapat pada salah seorang individu yang disahkan positif Covid-19 pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.
Beberapa calon lain juga dilihat selesai melaksanakan tanggungjawab membuang undi di beberapa pusat mengundi di seluruh Sabah yang dibuka seawal jam 7.30 pagi tadi.
Antaranya calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Beaufort membabitkan DUN Klias iaitu Datuk Isnin Aliasneh yang selesai membuang undi kira-kira jam 9.23 pagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Takuli manakala calon PN di DUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury pula membuang undi di SK Menunggang kira-kira jam 9.13 pagi.
Selain itu, beberapa calon Bebas turut kelihatan membuang undi pada sebelah pagi antaranya calon Bebas DUN Kuala Penyu Mohd Fadzlee Lee Abdullah @ Chun Lee Abdullah yang membuang undi di SK Pekan Menumbok kira-kira jam 8 pagi dan calon Bebas DUN Membakut Ag Duramin Tafa yang membuang undi di pusat mengundi SK Kampung Brunei Membakut.
Tidak terkecuali bagi calon Parti Cinta Sabah (PCS) DUN Sungai Sibuga Irwanshah Mustapa turut selesai membuang undi di SK Nunuyan Laut jam 9.51 Pagi tadi manakala calon parti sama bagi DUN Lumadan Malik Unsat @ Jahari turut membuang undi di SK Gadong Beaufort pada jam 9 pagi.
Bagi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup turut menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih di SK Pekan Keningau II seawall jam 7.30 pagi tadi.
Sementara itu, Timbalan Presiden Warisan yang juga calon DUN Moyog Datuk Darell Leiking turut selesai membuang undi di pusat mengundi SK Sugud Penampang jam 9.40 pagi.
Bagi calon PBS DUN Api-Api Datuk Dr Yee Moh Chai dan isterinya Datin Vicky Yee membuang undi pada jam 10.45 pagi tadi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Chung Hwa Kota Kinabalu.< /p>
Mantan Ketua Menteri Sabah, Chong Kah Kiat yang bertanding di DUN Inanam pulang ke kampung halaman bagi membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kudat pada jam 8.15 pagi tadi bagi kerusi DUN Tanjung Kapor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!