Media sosial jadi platfom pengundi kongsi proses pengundian

Orang ramai menunaikan tanggungjawab mengundi dengan mematuhi SOP bagi mengelak penularan Covid-19 semasa proses pengundian pada PRN ke-16 di SMK Tun Fuad Stephens hari ini.
Orang ramai menunaikan tanggungjawab mengundi dengan mematuhi SOP bagi mengelak penularan Covid-19 semasa proses pengundian pada PRN ke-16 di SMK Tun Fuad Stephens hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Platform media sosial digunakan pengundi untuk berkongsi perjalanan proses pengundian bagi merakam peristiwa bersejarah memilih pentadbiran kerajaan negeri yang baharu dalam suasana pandemik koronavirus (Covid-19).

#PRNSabah #SabahMemilih #SabahBangkit digunakan pengundi khasnya golongan muda dengan memuat naik gambar di akaun Twitter, Facebook dan Instagram, mulai dari sesi mengimbas kod aplikasi MySejahtera sewaktu tiba di pusat mengundi sehinggalah selesai mengundi dengan menunjukkan jari telunjuk dicalit dakwat hitam.

Ada juga yang berswafoto bersama-sama rakan selepas selesai mengundi dengan pelbagai kapsyen antaranya; “kami sudah selesai mengundi”, “Selamat mengundi warga Sabah, pilihan di tangan anda” dan “Good morning Sabahan, get out and vote:”

Sehingga jam 12 tengah hari, cuaca cerah di kebanyakan tempat selain proses pengundian terus berjalan lancar tanpa sebarang gangguan serta kelibat petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis dan Kementerian Kesihatan terus komited bertugas memastikan keadaan terkawal.

Jauh di pedalaman kira-kira 80 kilometer dari ibu negeri, calon Perikatan Nasional (PN) dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, menunaikan tanggungjawabnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tambunan pada jam 9.50 pagi.

Pengundi menunggu giliran pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya hari ini.
Pengundi menunggu giliran pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya hari ini.

Beliau yang lengkap berpakaian tradisional suku kaum Kadazan Dusun termasuk memakai tengkolok yang dikenali Siga itu, sempat beramah mesra dengan pengundi dan petugas SPR yang berada di kawasan tersebut.

Kira-kira 90 minit kemudian, calon kerusi DUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Garam, Kinabatangan sambil menitipkan pesanan kepada pengundi supaya menjaga prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 demi keselamatan bersama.

Artikel Berkaitan:

Turut mencuri tumpuan adalah kehadiran bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang selesai mengundi di SK Sungai Manila, Sandakan bagi kerusi DUN Sungai Manila pada jam 11.04 pagi tadi.

Kehadiran penyandang kerusi DUN Sungai Sibuga itu diiringi sepasukan pengiring keselamatan dan selepas selesai mengundi, Musa sempat beramah mesra dengan pengundi yang teruja menemuinya di pusat mengundi tersebut.

Pengundi, Maitah Tandasai mengendong anak kecil semasa mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di Sekolah Kebangsaan Mantob hari ini.
Pengundi, Maitah Tandasai mengendong anak kecil semasa mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di Sekolah Kebangsaan Mantob hari ini.

Hari yang sibuk buat Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh apabila meninjau perjalanan proses pengundian di beberapa pusat pengundian antaranya SJK (C) Chung Hwa dan SMK Sanzac Kota Kinabalu sejak pagi tadi.

Bekas Ahli Parlimen Kota Belud yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan turut menunaikan tanggungjawabnya sambil menunjukkan jari dicalit dakwat hitam selepas selesai mengundi di SK Serusup, Tuaran pada jam 11.35 pagi.

Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi DUN sejak jam 7.30 pagi ini bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 1,088,711 pengundi biasa bakal mengundi esok

Proses pengundian PRN Sabah berjalan lancar


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!