Dua polis direman kes cabul pelajar
TAIPING - Dua anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal ditahan reman selama lima hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes mencabul kehormatan dua pelajar perempuan di Simpang, di sini pada 22 September lalu.
Anggota berusia 35 dan 27 tahun itu ditahan pada Rabu lalu selepas dua remaja terbabit masing-masing berusia 18 dan 19 tahun membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, berdasarkan laporan dibuat, mangsa mendakwa telah dicabul oleh anggota berkenaan di sebuah kawasan sunyi.
"Pihak polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan sehingga kini siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Dalam kejadian sekitar jam 11.30 malam itu, dua remaja berkenaan dikatakan sedang melepak bersama dua rakan lelaki di Taman Tasik Taiping sebelum didatangi dua anggota polis.
Anggota itu kemudiannya mengarahkan rakan lelaki itu pulang dan meminta kedua-dua remaja terbabit masuk ke dalam kenderaan polis dengan tujuan menghantar mereka pulang.
Bagaimanapun, mangsa mendakwa mereka telah dibawa ke sebuah bangunan kosong sebelum seorang daripada anggota bertindak mencabul serta melanggar kesopanan dengan meraba badan kedua-dua remaja itu.
Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan cabul dan 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan kelucahan melampau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!