Calon DAP DUN Luyang dakwa menang undi majoriti
SHAH ALAM - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang, Phoong Jin Zhe menzahirkan rasa syukur dan bangga apabila beliau sekali lagi diberi peluang untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Mengikut keputusan tidak rasmi, Jin Zhe yang merupakan calon DAP yang bertanding di bawah logo Parti Warisan Sabah (Warisan) mendakwa sudah meraih undi majoriti undi bagi kerusi berkenaan.
Menurutnya, kejayaan itu menjadi pemangkin buatnya untuk memberikan khidmat yang lebih baik selepas ini.
“Sebentar tadi, saya telah meraih lebih daripada separuh jumlah keseluruhan undi dan telah mencapai majoriti. Oleh itu, saya dengan rendah hati dan penuh rasa kesyukuran, mengumumkan kemenangan saya. Saya amat berbangga dipilih sebagai wakil rakyat Luyang sekali lagi.
“Terima kasih kepada semua pengundi Luyang. Saya sedar ini merupakan mandat yang amat penting dan besar. Dengan melandaskan semangat demokrasi, saya dan pasukan akan terus berusaha dengan sedaya upaya untuk berkhidmat kepada semua rakyat Luyang,” katanya menerusi satu kenyataan sebentar tadi.
Menurut Jin Zhe, mandat dan amanah baharu itu juga turut menjadi pendorong buatnya untuk terus berusaha sebaik mungkin membantu rakyat Sabah khususnya di kawasan yang dimenanginya itu.
“Ini adalah kesinambungan tugasan. Oleh itu, saya tiada tempoh 'bulan madu'. Saya akan mula bekerja dengan serta-merta. Pusat Komuniti Luyang saya juga akan dibuka seperti biasa pada hari Isnin ini.
“Akhirnya, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua anggota sukarelawan. Terima kasih kepada semua sukarelawan yang membantu sepanjang tempoh kempen ini,” katanya.
Jin Zhe berkata, di sebalik kegembiraan kerana berjaya mengekalkan kemenangan, tumpuan utama beliau ketika ini adalah untuk menanti keputusan penuh PRN Sabah dengan harapan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dapat meneruskan lagi khidmat sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Kami amat berharap dapat memperoleh majoriti kerusi agar beliau dapat menjadi Ketua Menteri Sabah sekali lagi, dan DAP bersama dengan Warisan dapat membentuk kerajaan negeri sekali lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!