Eky damba Kasut Emas

Shahrel Fikri kini menerajui carta penjaring terbanyak saingan CIMB Liga Super apabila merekodkan sembilan gol. -Foto FB PERAK TBG
Shahrel Fikri kini menerajui carta penjaring terbanyak saingan CIMB Liga Super apabila merekodkan sembilan gol. -Foto FB PERAK TBG
A
A
A

PENYERANG Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mengidamkan anugerah Kasut Emas buat kali pertama di pentas Liga Malaysia (Liga-M) selepas cemerlang menjaringkan empat gol dalam kemenangan 5-1 ke atas Felda United di Stadium Perak malam kelmarin.

Menurut Shahrel Fikri yang kini merekodkan sembilan gol, dia yakin mampu merealisasikan impiannya itu dan bertekad menambah koleksi jaringan dalam dua lagi baki perlawanan.

“Syukur alhamdulillah dengan segala usaha dan kerja keras selama ini, saya rasa sudah semakin dapat kembali sentuhan. Untuk dapat Kasut Emas pertama dalam karier saya, memang nampak ada peluang cerah.

“Namun, ada dua lagi baki perlawnanan dan saya tidak boleh berpuas hati lagi sebab dalam bola sepak ini apa pun boleh jadi. Apa yang pasti, saya menyasarkan untuk menambah jaringan pada perlawanan akan datang.

“Sebagai seorang penyerang, mahu atau tidak saya tetap perlu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan walaupun satu gol kerana ia adalah tugas seorang penyerang di atas padang,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Shahrel Fikri atau lebih dikenali sebagai Eky mendahului carta penjaring terbanyak CIMB Liga Super ketika ini sambil meninggalkan beberapa awang import, antaranya penyerang Terengganu FC (TFC), Dominique Dal Sylva serta dua ayam tambatan Kedah - Kipre Tchetche dan Kpah Sherman.

Turut berada dalam senarai pemburuan Kasut Emas kali ini termasuklah bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera, penyerang Selangor, Ifedayo Omosuyi serta penggempur Pahang, Ivan Carlos.

Jika Shahrel Fikri berjaya merangkul Kasut Emas musim ini, ia sekali gus akan menyaksikan penyerang skuad Harimau Malaya itu memecah dominasi pemain import yang sering memenangi anugerah tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Shahrel Fikri turut berterima kasih kepada pengendali Perak, Mehmet Durakovic yang tidak pernah berhenti memberikan kepercayaan kepadanya untuk kembali bangkit selepas sering dipalit dengan masalah kecederaan.

“Saya rasa setiap pasukan memang harap pemain import menjaringkan gol berbanding pemain tempatan. Tetapi berbeza dengan Perak kerana coach Mehmet memberikan 100 peratus kepercayaan kepada saya dan saya mahu membalas balik kepercayaanya itu.

“Malah, usaha rakan-rakan sepasukan juga banyak membantu saya. Mereka tahu kemampuan saya dan itu yang membuatkan saya rasa enjoy apabila bermain dengan mereka dan itu juga yang mendorong saya untuk menjadi lebih baik,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!