Bubar sajalah kerajaan!
PENGUMUMAN Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen bukanlah sesuatu yang boleh dipandang mudah dan remeh.
Anwar mungkin mempunyai jumlah kerusi mencukupi, mungkin juga tidak, namun ia memberi gambaran bahawa kerajaan kini tidak lagi berupaya membentuk satu pasukan yang kuat dan mantap bagi memulihkan ekonomi negara.
Terdapat beberapa sebab yang menunjukkan kerajaan berkenaan seperti telur di-hujung tanduk. Pertama, jumlah 113 kerusi yang dipegang oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sangat tipis. Ia membawa maksud kerajaan hanya mempunyai majoriti tipis tiga undi di Parlimen.
Perkara itu bukan kritikal jika kerajaan itu dibentuk oleh sebuah parti tetapi apabila ia dibentuk oleh beberapa parti yang ‘bermusuhan’, maka keadaan menjadi sangat rapuh.
Kedua, sudah menjadi pengetahuan dalam kalangan koridor politik bahawa beberapa orang ahli Parlimen UMNO tidak lagi menyokong Muhyiddin. Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO tidak dapat menghalang ahli Parlimennya yang menandatangani ikrar menyokong Anwar menunjukkan situasi politik telah berubah.
Ahmad Zahid kelihatan mengetahui sesuatu dan memahami situasi yang berlaku. Menurut beberapa sumber, terdapat 10 ahli Parlimen UMNO, bukannya 19 orang seperti dakwaan sebuah portal yang menyokong usaha Anwar.
Seramai 10 orang itu mungkin tidak mencukupi untuk Anwar menjadi Perdana Menteri, namun ia juga telah menyebabkan Muhyiddin hilang majoriti tipis yang ada sebelum ini.
Krisis itu berlaku bukan kerana mereka mahu Anwar menjadi Perdana Menteri tetapi lebih kepada penolakan sebahagian pemimpin UMNO terhadap Muhyiddin.
Penolakan itu tidak ada kena mengena dengan keputusan mahkamah ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang cuba digambarkan beberapa kumpulan dalam Bersatu.
Sebaliknya, beberapa tindakan dan keputusan politik parti Bersatu telah menyebabkan UMNO berasakan mereka sedang ditolak ke dinding dan menuju jalan kematian jika tidak berbuat sesuatu, antaranya Bersatu telah menguasai kementerian berpengaruh.
Seterusnya, tindakan Bersatu bersama Pas meneruskan penubuhan Perikatan Nasional (PN) telah dilihat sebagai agenda melemahkan Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN).
Lahirnya Perikatan Nasional (PN) telah menimbulkan kesedaran bahawa Bersatu dan UMNO tidak lagi mencari jalan perdamaian serta penyatuan tetapi sedang membina armada masing-masing untuk berhadapan pilihan raya umum akan datang.
Kemuncak kecurigaan itu apabila Bersatu mendesak untuk bertanding di 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah walaupun mengetahui mereka tidak mempunyai kekuatan jentera dan terpaksa bergantung kepada jentera UMNO dan BN.
Walaupun Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berjaya meyakinkan pemimpin UMNO Sabah yang mempunyai autonomi untuk bertolak ansur, namun pemimpin UMNO lain melihat keadaan itu sebagai perkembangan tidak sihat kepada kelangsungan parti.
Tidak hairanlah sebahagian pemimpin UMNO tidak lagi mahu bertolak ansur dan memilih untuk menyekat apa yang mereka anggap gerakan ‘membunuh’ UMNO secara senyap. Anggapan mereka mungkin benar atau mungkin salah, namun banyak tindak tanduk Hamzah dilihat ke arah itu.
Jika diambil kira semangat demokrasi, Muhyiddin sudah sepatutnya memanggil semua ahli Parlimen yang menyokongnya sebelum ini bagi memastikan sama ada beliau masih mempunyai legitimasi untuk menguruskan kerajaan.
Jika benar ada lebih daripada tiga ahli Parlimen UMNO tidak lagi menyokong beliau, maka Muhyiddin perlu mencontohi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang memohon pembubaran bagi memberi ruang kepada rakyat membuat pemilihan semula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!