Kuasa rakyat dalam mainan politik
MUKANYA cemas. Keringat membasahi dahinya. Perjalanan tanpa henti merentasi tanah yang kontang itu hampir menjemput kehadiran sakaratul maut. Segala onak dan duri tidak diendahkan, segala rintangan diabaikan, demi tugas yang telah diamanahkan kepadanya.
Setibanya ke destinasi, pacuannya ditinggalkan begitu sahaja. Khemah-khemah yang didirikan berdekatan satu sama lain. Amat banyak. Umpama bintang-bintang di langit yang berkerlipan pada malam yang gelap gelita.
Perjalanan harus disambung tanpa kenderaannya. Berkali-kali pekarangan ini telah dilewati. Namun pada kali ini, perasaan cemas menghinggapi hatinya.
Watikah yang selama ini menyorok di kocek dadanya dikeluarkan dan digenggam erat.
“Assalamualaikum,” ucapan dilontarkan dengan perlahan. “Waalaikumusalam,” jawapan disambut dari dalam khemah.
Tabir khemah disingkap. Beberapa lelaki sedang duduk di atas lantai, sedang berbincang sesuatu. Tangan yang memegang watikah itu menggeletar.
“Saya ada berita penting untuk tuan, daripada Umar,” ucapnya pendek. Watikah itu dihulurkan kepada lelaki yang jelas ketua di situ.
Watikah dibuka dengan perlahan. Tiap-tiap satu perkataan disulami dengan tenang.
“Apa berita daripada Umar?” sampuk seorang rakan yang sedang duduk di atas lantai tadi. “Jawatan aku dilucutkan.”
Dengan serta-merta, rakan-rakan yang sedang bermesyuarat tadi terus mengerumuninya. Merah padam muka mereka. Suara mereka semakin lantang. Semakin tinggi.
Tidak mungkin berita ini datang daripada Umar al-Khattab. Tidak mungkin panglima perang yang tersohor dipecat sedemikian rupa. Panglima yang telah dilantik oleh Utusan Allah sendiri, untuk mengetuai bala tentera yang berjaya mengalahkan kaum kafir sekali gus membolehkan agama Islam bertapak dengan megahnya di benua ini. Seorang panglima yang telah dinobatkan dengan gelaran ‘Pedang Allah’. Yang tidak ada tolok bandingnya. Tidak pernah panglima lain menerima gelaran seagung ini. Jelas watikah itu membawa berita palsu.
Namun, wajah Khalid al-Walid tenang. Perintah seorang khalifah harus dituruti, tanpa soal, tanpa bicara. Beliau sedar dan beliau akur. Tugasnya hanyalah untuk dan kerana Allah. Demi agama.
Tenang
Dan Khalid juga tahu bahawa sekiranya beliau masih memegang jawatan panglima perang, maka perasaan taksub mungkin menyelinap masuk ke hati kecilnya. Pujian-pujian yang dilontarkan kepadanya tidak mustahil akan melahirkan keangkuhan. Malah terdapat beberapa bala tenteranya mula berpendapat bahawa kemenangan mereka di medan perang adalah kerana kemahiran Khalid dan bukannya dengan izin Allah.
Oleh sebab inilah Khalid menerima pemecatannya dengan reda. Kita tinggalkan kisah ini seketika.
Demam pilihan raya mula menyelinap kembali politik Malaysia. Retorik pemimpin-pemimpin dari khemah parti politik semakin hangat diutarakan, masing-masing mendabik dada dengan harapan meraih simpati serta undi rakyat.
Akulah yang amat layak jadi pemimpin dilaungkan di pelosok Nusantara, manakala lawanku tidak boleh dipercayai. Dengarkanlah sarananku ini. Dan sekiranya saranan ini tidak dikotakan, maka akan kubawa kerusiku ke sempadan lawan.
Sandiwara politik ini sudah lumrah. Amat kerap diaksikan oleh badut-badut politik di negara kita. Di kedua-dua belah jurang parti politik, keadaannya sama sahaja. Sering melompat.
Sebenarnya, rakyat sudah jelak dan muak dengan sikap pemimpin-pemimpin kita yang hanya tamakkan kuasa.
Tetapi apakan daya. Undang-undang membolehkan ahli-ahli politik ini bertindak sedemikian rupa. Kita sudah maklum dengan keputusan kes Nordin Salleh, yang membenarkan seseorang wakil rakyat untuk melompat dari satu parti politik ke satu parti politik yang lain. Walaupun interpretasi mahkamah mungkin berpatutan pada ketika itu, namun kesan kes ini telah mengakibatkan rakyat menderita dengan tindakan ahli politik yang mengambil peluang penuh keputusan mahkamah itu.
Amanah dan mandat yang diberikan oleh rakyat tidak dihiraukan sama sekali. Kepentingan dan hak rakyat diketepikan. Tindakan mereka bukan sahaja menyeksa rakyat, malah kestabilan serta kekukuhan ekonomi juga terjejas. Pelabur asing manalah yang sanggup melabur di negara kita lanjutan daripada ketidakstabilan ekonomi?Ahli-ahli politik ini lupa pada sejarah. Walaupun Khalid al-Walid dipecat, beliau masih utuh dalam pendiriannya untuk berjuang, demi Allah.
Ketika memegang teraju pemerintahan, amanah itu dilaksanakan dengan sempurna serta ikhlas. Dan walaupun beliau dipecat, beliau masih lagi berjuang. Ini kerana Khalid sedar bahawa kuasa pemerintahan hanyalah suatu amanah yang amat berat.
Lain dengan keadaannya sekarang. Ada menteri bertindak seolah-olah undang-undang tidak terpakai kepada mereka. Dan mereka lupa kepada segala janji yang telah ditaburkan kepada rakyat sebelum mereka dipilih sebagai wakil rakyat. Mereka lupa kepada amanah yang telah diberi oleh rakyat kepada mereka.
Pilihan
Dan mereka juga lupa bahawa rakyat berkuasa untuk menyingkirkan mereka, sepertimana yang telah dilakukan pada Pilihan Raya Umum sebelum ini.
Tapi apakah pilihan rakyat? Kedua-dua kumpulan parti politik mempunyai masalah mereka sendiri. Mereka lebih utamakan kuasa daripada kepentingan rakyat.
Masa mereka yang seharusnya digunakan untuk rakyat dihabiskan di mahkamah untuk membela diri ataupun menyaman lawan politik. Kelakuan keanak-anakkan mereka dipamerkan ke seluruh dunia melalui sidang Parlimen yang ditayangkan melalui YouTube. Adakah mereka ini yang akan menjadi wakil kita nanti?
Pada ketika ini, kita harus sedar dan ingat bahawa kita berhak untuk melantik siapa sahaja sebagai pemimpin kita. Pilihan kita tidak terhad kepada mereka yang hanya mabuk kepada kuasa ini. Mungkin sekarang adalah masanya untuk kita memilih pemimpin yang lain, selain daripada pemimpin yang ada pada masa ini.
Pemimpin yang seharusnya diketengahkan adalah seorang yang tidak lupa kepada prinsip yang dipegang oleh Singa Allah. Yang hanya akan mengutarakan kepentingan rakyat serta memartabatkan Perlembagaan Persekutuan kita, yang kian lama telah terpencil sedikit demi sedikit.
Kita tidak boleh biarkan hak kita dimain-mainkan oleh ahli-ahli politik ini. Kerana sesal demikian, tidak berguna.
*Datuk M Reza Hassan ialah lulusan undang-undang Universiti Wolverhampton, United Kingdom. Kini beliau ialah peguam di Kuala Lumpur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!