Harimau Kumbang buru keputusan positif di laman sendiri
PULAU PINANG nekad memanfaatkan satu aksi terakhir di laman sendiri dengan keputusan positif dari dua baki liga dalam misi mencipta sejarah merangkul kejuaraan Liga Premier selepas bangkit menewaskan UKM 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, petang semalam.
Menurut pengendali Harimau Kumbang, Manzoor Azwira Abdul Wahid, biarpun objektif saingan musim ini untuk layak ke saingan Liga Super 2021, namun beliau mahu pemain-pemain Pulau Pinang memberikan sepenuh tumpuan kepada dua baki perlawanan berkenaan.
"Syukur alhamdulillah, kami berjaya membawa pulang tiga mata dari tempat lawan biarpun menentang UKM FC ini bukan satu perlawanan yang mudah.
"Kemenangan ke atas UKM ini sekali gus membolehkan skuad Harimau Kumbang mengungguli saingan liga dengan kelebihan tiga mata dan jaringan berbanding pesaing terdekat Kuala Lumpur.
"Apa pun masih terdapat dua perlawanan lagi yang tidak kurang sengitnya, perlu diberikan perhatian serius oleh pemain-pemain terutamanya apabila beraksi di laman sendiri nanti.
"Sememangnya menjadi harapan semua pasukan tidak terkecuali Pulau Pinang dalam melakarkan kemenangan terakhir perlawanan liga di tempat sendiri," katanya.
Pada aksi petang semalam itu, anak buah Manzoor Azwira terlebih dulu dikejutkan UKM FC hasil jaringan
penyerang import tuan rumah, Akanni-Sunday pada minit ke-17.
Namun Harimau Kumbang bangkit pada babak kedua hasil jaringan peledak dari Brazil, Casagrande pada minit ke-48 sebelum sepakan penalti Endrick Dos Santos (66') menoktahkan kemenangan pelawat.
Pulau Pinang selepas ini akan menerima kunjungan Kelantan United di Stadium Bandaraya pada Jumaat ini sebelum berkunjung ke Kuala Terengganu menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 9 Oktober.
Pada masa sama Manzoor Azwira mengakui masih terdapat beberapa penambahbaikan perlu dilakukan walaupun Harimau Kumbang sudah meraih slot ke saingan liga elit bola sepak negara tahun depan.
"Kami akan menggunakan segala ruang yang ada ini bagi meningkatkan prestasi pemain-pemain sebagai persediaan mengharungi saingan Piala Malaysia pula selepas ini
"Apa pun saya mahu pemain-pemain Pulau Pinang mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan pada masa sama mengibaratkan setiap perlawanan umpama perlawanan akhir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!