Chelsea masih buat kesilapan sama
PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard mengakui kecewa dengan prestasi dipamerkan barisan pertahanan The Blues ketika melakar keputusan seri 3-3 semasa bertandang ke Stadium The Hawthorns menentang West Bromwich Albion.
Menurut pengendali berusia 42 tahun itu, beliau terkilan kerana benteng pertahanan kelab London berkenaan masih mengulangi kesilapan sama seperti dalam dua perlawanan terdahulu.
“Anda boleh melakukan seberapa banyak pertemuan dengan pemain bagi mengatasi masalah ini semasa latihan, namun sekiranya mereka masih lagi melakukan kesalahan sama semasa setiap perlawanan sebenar bermakna mereka sengaja memilih laluan laluan berliku
“Pada perlawanan ini pemain juga mencipta banyak peluang menjaringkan gol pada babak kedua, namun masalah timbul apabila West Brom mempertahankan kelebihan gol dimiliki setelah mendahului 3-0 pada babak pertama
“Perlawanan ini sebenarnya memberikan pengajaran paling berguna kepada semua pemain Chelsea untuk berusaha lebih baik memperbaiki kualiti permainan setelah berdepan masalah kurangnya persediaan pramusim sebelum ini," katanya.
Penampilan kurang bermaya Chelsea menyaksikan pada separuh masa pertama pelawat ketinggalan 0-3 menerusi jaringan Callum Robinson pada minit keempat, (25') dan Kyle Bartley (27').
Anak buah Lampard bangkit menyamakan kedudukan bermula dengan jaringan Mason Mount (55'), Callum Hudson-Odoi (70') sebelum gol minit ke-93' jaringan Tammy Abraham mengikat kedudukan 3-3.
Pada masa sama bekas pemain tengah Chelsea itu mengakui bahawa pemain The Blues masih dalam proses membentuk keserasian dalam kalangan pemain lama dan baharu bagi saingan musim ini.
“Hari ini adalah sebahagian daripada proses untuk menjadi lebih baik, kami mempunyai dua perlawanan penting iaitu menentang Tottenham (pusingan keempat Piala Liga) dan Crystal Palace. Jadi saya amat harap dapat melihat peningkatan dalam persembahan kami,” kata Lampard.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!