PRN Sabah: Bukti rakyat Sabah yakin pimpinan Muhyiddin

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam memberikan isyarat yang jelas bahawa rakyat negeri itu yakin terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mereka juga bijak memilih pemimpin yang prihatin kepada rakyat.

"Tahniah kepada Perikatan Nasional (PN) di Sabah atas kemenangan itu. Jika kerajaan negeri tidak selari dengan kerajaan Persekutuan amat sukar untuk ahli Parlimen dan ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) berkhidmat kerana muka buminya terlalu luas.

"Satu DUN (Dewan Undangan Negeri) sebesar negeri kita, Parlimen Kinabatangan sebesar negeri Pahang. Bagaimana nak tadbir kalau tidak ada agensi kerajaan, agensi Persekutuan untuk tolong mereka (rakyat Sabah),” katanya kepada media selepas menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman untuk disalurkan kepada penghuni Rumah Pangsa Tongkang Yard di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di sini hari ini.

Menurutnya, banyak pengajaran boleh dijadikan teladan melalui PRN terutama memelihara perpaduan rakyat.

"Ini untuk mengelakkan tercetusnya perbalahan dan pergolakan terutama dalam situasi pandemik Covid-19 ini.

"Kita sedang menghadapi cabaran yang sangat besar (Covid-19) yang memberi kesan kepada ekonomi, sosial, pendidikan, perniagaan dan pasaran saham. Penting untuk negara kita bersatu bagi menghadapi cabaran ini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan GRS yang terdiri daripada PN, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah memenangi 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Warisan Plus (Warisan, DAP, Amanah, UPKO dan PKR) memperoleh 32 kerusi DUN.

Artikel Berkaitan:

Baki tiga kerusi DUN Sabah dimenangi calon bebas. PRN Sabah yang berlangsung semalam menyaksikan 73 kerusi DUN dipertandingkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!