Perhilitan siasat kehadiran buaya di Port Dickson
PORT DICKSON - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan akan menyiasat dakwaan berhubung kehadiran buaya di perairan Port Dickson seperti yang ditularkan dalam media sosial.
Pengarahnya, Wan Mat Wan Harun berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung perkara tersebut.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya terlebih dahulu akan meneliti rakaman video terbabit bagi memastikan kejadian tersebut benar-benar berlaku di kawasan terlibat.
“Kami akan siasat video tular itu terlebih dahulu sebelum mengesahkan ia berlaku di kawasan perairan Port Dickson.
"Jadi, orang ramai sama ada pengunjung atau penduduk Port Dickson tidak perlu panik. Sekiranya ternampak sesuatu yang mencurigakan di kawasan perairan Port Dickson, segera laporkan kepada kami (Perhilitan)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 16 saat yang dikongsi pengguna Twitter, @ShafikJaafar tular dengan memaparkan seekor buaya di laut yang didakwa di Port Dickson.
Pengguna Twitter tersebut dipercayai pekerja luar pesisir pantai dan video dimuat naik itu setakat ini diulang ciap sebanyak 4,892 kali dan mendapat tanda suka lebih 4,700.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!