Kemenangan Sabah referendum sokongan terhadap PM

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
A
A
A

IPOH - Kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berpihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) malam tadi, merupakan satu referendum sokongan dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia dizahirkan dengan jelas agar perdana menteri dapat terus menerajui negara di sebalik pelbagai percubaan pihak pembangkang menggugat kestabilan kepemimpinan kerajaan Persekutuan.

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada pengundi yang telah memberi kepercayaan kepada Perikatan Nasional (PN) bersama rakan-rakan GRS untuk membentuk kerajaan negeri baharu di Sabah.

"Ia sekali gus memberi isyarat bahawa rakyat Sabah menyokong segala usaha kerajaan Persekutuan dalam membela kebajikan rakyat dan usaha menjana semula ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kejayaan itu membuktikan kerjasama dan penyatuan yang begitu utuh kalangan rakan-rakan dalam GRS biarpun ia ditubuhkan dalam tempoh begitu singkat.

"Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada semua jentera dari parti-parti komponen GRS yang begitu komited dari awal hingga akhir tempoh berkempen.

"Kita berharap dengan selesainya PRN Sabah ini akan menamatkan kemelut politik yang melanda negeri tersebut," katanya.

Menteri Besar Perak itu berharap, kerajaan negeri GRS yang akan dibentuk nanti perlu diberikan ruang untuk memberi sepenuh perhatian kepada usaha membela nasib rakyat memandangkan negara masih berperang melawan penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Komitmen Tan Sri Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu untuk membantu kerajaan negeri Sabah menunaikan semua aku janji kempen PRN lalu adalah hadiah paling bernilai buat rakyat Sabah di atas kepercayaan diberikan kepada wakil-wakil rakyat GRS ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!