Pegawai bank ditahan tunjuk isyarat lucah, carut polis

Nik Ezanee Mohd Faisal
Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pegawai bank ditahan kerana menunjukkan isyarat lucah dan enggan memberikan kerjasama ketika pemeriksaan polis semasa sekatan jalan raya di Kota Damansara, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 39 tahun yang juga penumpang sebuah kenderaan e-hailing itu ditahan kira-kira jam 11.30 malam.

Menurutnya, semasa pemeriksaan hendak dilakukan, lelaki itu menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis terbabit.

"Malah, suspek juga enggan beri kerjasama selain mengeluarkan kata-kata kesat dan bertindak agresif sehingga memaksa anggota polis untuk membuat tangkapan.

"Suspek kini ditahan reman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, tindakan pantas polis berjaya memberkas seorang suspek yang dipercayai sedang melakukan jenayah pecah rumah di sekitar daerah ini, awal pagi tadi.

Katanya, kejadian itu disedari penghuni rumah terbabit yang baru pulang kira-kira jam 1.30 pagi selepas melihat sebuah motosikal mencurigakan di hadapan kediamannya lalu menghubungi polis.

"Polis yang tiba beberapa minit kemudian berjaya menahan suspek lelaki berusia 42 tahun yang cuba melarikan diri. Pelbagai barang dan peralatan pecah rumah dirampas antaranya pemutar skru, sarung tangan dan gunting.

Artikel Berkaitan:

"Suspek yang memiliki empat rekod lampau direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!