Ketua Menteri Sabah dijangka diumum esok
KOTA KINABALU - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dijangka mengumumkan Ketua Menteri Sabah yang baharu esok.
Menerusi ciapan di Twitternya, Ahmad Maslan berkata, perjumpaan antara pemimpin utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Juhar selesai kira-kira jam 3.30 petang tadi.
Ahli Parlimen Pontian itu turut berkata, antara pemimpin yang mengadakan perjumpaan bersama Juhar ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim.
"Tiga calon Bebas yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) telah menyatakan sokongan kepada GRS. Kini sudah ada 41 kerusi untuk bentuk kerajaan Sabah. Datuk Seri Shafie dan lain-lain cuma ada 32, kita yang bentuk kerajaan," katanya.
Terdahulu, Pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyerahkan keputusan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk menentukan calon Ketua Menteri Sabah.
Bagaimanapun, Juhar dikatakan meminta tempoh untuk membuat keputusan itu.
Dalam pertemuan kira-kira 45 minit antara Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor; Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah, Datuk Jahid Jahim dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dengan Juhar di Istana Negeri dipercayai masih belum dapat menentukan siapa calon Ketua Menteri yang baharu dari GRS.
Bung ketika ditanya media selepas keluar dari pekarangan istana berkata, Juhar meminta tempoh secepat mungkin untuk memberikan keputusan.
"Beliau minta tempoh... Secepat yang mungkin," katanya.
Sementara itu, Jahid ketika diminta mengulas berhubung pertemuan itu berkata, perkara itu diserahkan kepada Juhar."Kita serahkan pada TYT, TYT yang buat keputusan. Lancar dan perbincangan berjalan dengan baik," katanya.
Hajiji yang mendahului rombongan keluar dari pekarangan Istana Negeri juga membuat ulasan yang sama ketika ditanya media bahawa Juhar akan memutuskan perkara tersebut.
" TYT akan putuskan (keputusan Ketua Menteri Sabah)," katanya.
Ikuti perkembangan terkini LiveBlog pasca PRN Sabah yang dibawakan oleh Sinar Harian:
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!