Tiada pemenang jelas pada PRN Sabah
SABTU lalu, seramai 749,083 orang atau 66.61 peratus daripada keseluruhan pengundi di Sabah menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang ke-16.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibentuk pada pertengahan September lalu diumum secara rasmi memenangi 38 kerusi DUN daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.
Gabungan itu dianggotai Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) mendapat 14 kerusi, seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan tujuh kerusi.
Warisan Plus pula memperoleh 32 kerusi apabila Warisan memenangi 29 kerusi, PKR (2 kerusi) dan UPKO (1 kerusi). Tiga kerusi lagi dimenangi calon Bebas.
Tiada pemenang yang jelas dalam pilihan raya itu tetapi GRS berjaya memperoleh majoriti mudah sekali gus membolehkannya menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.
Banyak penganalisis politik berpendapat ini menunjukkan trend politik Malaysia untuk tahun-tahun mendatang menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Ia menunjukkan tiada parti yang benar-benar dominan dan tidak ada pemimpin yang dipercayai dengan sepenuh hati oleh pengundi.
Walaupun tewas, Warisan pimpinan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih tidak tumbang sepenuhnya kerana Warisan menjadi parti tunggal yang menang kerusi paling banyak.
Secara teknikal, Warisan menang 29 kerusi termasuk tujuh kerusi dimenangi DAP yang menggunakan logo Warisan.
PN pula mendapat 17 kerusi dan BN memperoleh 14 kerusi pada PRN yang paling sukar dan mencabar itu. Namun seperti yang dijangka, kegagalan menamakan Ketua Menteri Sabah sebelum pilihan raya kini menjadi satu masalah kepada gabungan itu.
Krisis politik Sabah tampak belum ada tanda pengakhiran kerana ramai yang melihat kemenangan GRS sangat rapuh. Apatah lagi jika ‘jual beli’ atau ‘tawar-menawar’ berlaku dalam kalangan wakil rakyat.
Cerita lompat parti dan khianat lumrah dalam politik di di Malaysia dan Sabah tidak terkecuali. Tidak mustahil dalam dua hari lagi akan ada majlis angkat sumpah Ketua Menteri yang baharu pula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!