Pengundi makin matang

No Image Caption
A
A
A

PENGUNDI Sabah sudah memilih. Mandat baharu telah ditentukan melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menyaksikan pembentukan kerajaan yang ditentukan oleh rakyat. Kuasa rakyat Sabah ibarat bom jangka atau api dalam sekam yang meledak pada masa yang tepat dan sesuai.

Mungkin banyak yang susah untuk menjangkakan keputusan parti dan kumpulan mana yang akan menerajui Sabah. Isu dan sentimen yang sengit antara parti-parti yang bertanding menyebabkan debaran pada saat akhir keputusan diumumkan.

Bagaimanapun, semuanya ditentukan tangan pengundi. Inilah masanya parti politik yang memerintah perlu membuktikan setiap janji. Bukan hanya bersifat retorik semata-mata. Bukan juga gula-gula politik.

Apa yang dikata perlu dikotakan. Apa yang dijanji perlu diperinci. Rakyat Sabah bukan mudah lupa. Skrip dan manifesto serta janji yang diutarakan dalam ucapan baik perbualan masih segera dalam ingatan pengundi. Rakyat Sabah tidak mahu lagi ‘didendang’ dengan janji yang tidak kunjung tiba dan bertandang.

Pengundi bukan tabung uji untuk meraih sokongan. Pengundi bukan lagi alat yang digunakan oleh mana-mana parti politik untuk mendapatkan sokongan semata-mata. Pengundi adalah golongan terpilih dalam pentas demokrasi yang cukup berharga.

Keputusan PRN Sabah membuktikan bahawa rakyat tahu apa yang diingini dan rakyat berhak menentukan masa depan negara ini. Walau apa agenda dan manifesto dirangka mana-mana parti politik, ia bukan lagi menjadi keutamaan dan kriteria pemilihan masa kini. Sebenarnya pengundi juga mempunyai agenda tersendiri yang perlu diketahui oleh pemimpin parti politik.

Isyarat yang jelas diberikan pengundi ialah rakyat menjadi penentu siapa atau parti mana yang layak memerintah. Semuanya ditentukan oleh tangan pengundi. Penggunaan media sosial merancakkan lagi kempen parti politik walaupun terhad dalam pergerakan.

Pengamatan penulis mendapati bahawa Sabah perlu ditingkatkan kapasiti teknologi internet terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini perlu menjadi keutamaan dalam pakej pembangunan. Lagipun keperluan pendigitalan masa kini memerlukan akses maya yang berkelajuan tinggi.

Artikel Berkaitan:

Kempen bersemuka dan penggunaan media sosial mempengaruhi mereka mengenai isu nasional dan setempat yang boleh diperoleh di hujung jari, namun dalam pengamatan penulis isu yang menjadi penentu kepada pemilihan kali ini lebih bersifat setempat. Pengundi mengetahui apa story-telling dibawa calon dan parti politik.

Isu nasional dan juga kempen bawaan ‘Semenanjung’ tidak dapat mengatasi isu Sabah itu sendiri. Dalam maksud lain rakyat Sabah tahu apa yang terbaik untuk mereka. Pengundi Sabah sudah cerdik dan tidak mudah ‘ditipu’ oleh mana-mana pihak lagi.

Pengundi masa kini telah menunjukkan kematangannya dan terdedah dengan pelbagai sumber. Sumber maklumat bukan lagi merujuk pemimpin setempat. Pengundi muda menjadikan media sosial sebagai pentas demokrasi yang rencam sifatnya.

Keputusan PRN Sabah yang ditentukan oleh pengundi di Sabah merupakan manifestasi dan harapan rakyat. Banyak pengajaran dan iktibar buat pendokong demokrasi. Keputusan telah kita peroleh. Semoga segala kemelut yang berlaku dapat menghurai semua persoalan.

Kita perlu berlapang dada dan menerima hakikat. Ini adalah masa untuk kita bersama-sama memajukan Sabah dan mengurangkan konflik yang tidak berkesudahan. Demokrasi adalah bagaimana rakyat menentukan masa hadapan mereka dan mendapat nikmat hasil pilihan dan keputusan yang dibuat.

**Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!