Ibrahim Norrodin sapu bersih kejuaraan MSBK
PELUMBA Superbike SRT, Mohd Ibrahim Mohd Norrodin masih mampu untuk memenangi perlumbaan bagi Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) buat kali ketiga berturut-turut hari ini walaupun mengalami sedikit masalah dengan jenteranya.
Ibrahim berkata, dia mengalami sedikit masalah khususnya dari segi persiapan teknikal pada jenteranya pada sebelah pagi sebelum memulakan perlumbaan berkenaan.
Bagaimanapun menurutnya, masalah itu berjaya diatasi oleh krew teknikal pasukannya hingga dia mampu meneruskan perlumbaan sehingga ke garisan penamat.
"Pada awal pagi ini, saya berdepan dengan masalah jentera (setting) termasuk keadaan litar. Pada perlumbaan kali ini saya diberikan saingan daripada Azroy (Hakeem Anuar) sejak daripada permulaan perlumbaan sehinggalah ke selekoh terakhir.
"Walaupun berjaya memintasnya, ia ternyata satu perlumbaan yang 'tegang'. Namun terima kasih kepada krew teknikal kerana pada perlumbaan ketiga, jentera saya telah disetting' dengan baik.
"Keadaan cuaca yang baik juga menjadi penyebab mengapa saya konsisten mencatatkan masa ketika melalui selekoh (lap) bagi menjarakkan jurang antara saya dengan pelumba lain terutamanya Azroy dan Helmi (Azman)," katanya.
Ibrahim Norrodin turut mencatat masa terbaik dengan 2 minit 09.890 saat, Ibrahim dilihat berjaya mengekalkan tahap konsistennya hingga berjaya memenangi ketiga-tiga perlumbaan.
Sementara itu rakan sepasukannya Danial Syahmi Ahmad Shahril gembira apabila memenangi perlumbaan kedudukan pertama, kedua dan ketiga dalam ketiga-tiga perlumbaan yang diadakan.
Katanya, kemenangan itu menjadikan dirinya juga gembira kerana memenangi perlumbaan berkenaan apabila dibezakan hanya dengan tiga saat.
"Saya sungguh gembira dengan perlumbaan kedua kerana saya memenangi perlumbaan itu. Selama ini ia memang bagus untuk memenangi perlumbaan tetapi saya agak bergelut untuk mengharungi perlumbaan ketiga.
"Jentera Honda ternyata lebih laju hingga saya tidak dapat memintas pelumba lain pada laluan (trek) yang lurus.
"Oleh itu pada selekoh terakhir saya tetap mencuba untuk memintas mereka (pelumba lain). Apa pun, saya bersyukur kerana mampu menamatkan perlumbaan kali ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!