Persetujuan TYT bubar DUN Sabah keputusan kurang bijaksana

Shahrir Samad
Shahrir Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad mendakwa tindakan persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tempoh hari adalah satu keputusan yang kurang bijaksana.

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu berkata, keengganan Tun Juhar menerima bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman kembali menjadi Ketua Menteri Sabah pada 29 Julai lalu membuktikan Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Shafie Apdal sudah hilang keyakinan DUN, juga suatu tindakan tidak tepat.

Menurutnya, kesilapan Tun Juhar itu juga membawa kepada keadaan di mana Tuan Yang Terutama (TYT) itu perlu memilih antara calon Barisan Nasional (BN) dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Ketua Menteri baharu selepas pakatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, Sabtu lalu.

"Sekarang, Tun Juhar sebagai Yang di-Pertua Negeri sekali lagi menggunakan 'kebijaksanaan' yang sepatutnya ada pada jawatannya itu.

"Sebagai lambang perpaduan rakyat dan negeri, apa pun hasil daripada 'kebijaksanaan' itu pada masa ini amat sukar membetulkan kerumitan yang telah bermula semenjak selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) lagi.

"Apa pun keputusan Tun Juhar, ia tidak mampu mengubati hawa nafsu pemimpin politik sesudah rakyat memberi mandat, mula-mula di PRU14 dan kini di PRN Sabah baru-baru ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Shahrir berkata, penyelesaian bukan atas kebijaksanaan Tun Juhar tetapi melalui kehendak pemimpin-pemimpin Bersatu di negeri dan pusat tidak akan mampu menyelesaikan kemelut politik Sabah.

"Bersatu tidak ada kaitan langsung dengan keperluan politik negeri itu. Ia diwujudkan semata-mata sebagai permainan politik elit politik Semenanjung.

Artikel Berkaitan:

"Haruslah pemimpin-pemimpin Bersatu Sabah menyedari dan mengaku bahawa mereka akan lebih menghasilkan perpaduan dan kestabilan politik Sabah dengan meninggalkan parti itu dan kembali semula kepada UMNO.

"Mengapa hendak menari kepada rentak pemimpin Bersatu di Semenanjung? Pengorbanan yang paling besar ialah pengorbanan ego manusia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!