Empat infrastruktur utama Sukma Kelantan dibina tahun depan
KOTA BHARU - Empat infrastruktur utama untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di negeri ini dijangka mula dibina tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, stadium utama, stadium tertutup, pusat renang dan velodrom antara yang menjadi tumpuan pihaknya selain daripada beberapa lagi infrastruktur asas yang lain.
"Kita telah melawat negeri-negeri khususnya Johor yang kini sedang menguruskan Sukma ke-20 dan kita baru selesai buat 'value management' melibatkan lokasi-lokasi dan infrastruktur yang kita akan bina di Kelantan.
"Bila siap nanti kita akan majukan kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan jawapan balas berkenaan jumlah peruntukan yang boleh kerajaan beri kepada Kelantan dalam persiapan membina infrastruktur tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Wan Roslan hadir merasmikan Penutup Seminar Pembangunan Kejurulatihan Bola Sepak Remaja 2020 di Hotel Grand Riverview, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Kelantan, Muhammed Imran Mansoor dan Ketua Unit Pembangunan Belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee.
Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata, infrastruktur tersebut dijangka didirikan di atas tanah seluas 60.70 hektar di Bukit Merbau, selain di beberapa lokasi lain seperti Kota Bharu dan Jeli.
Malah katanya, pembinaannya juga bertaraf antarabangsa termasuklah litar-litar sukan bermotor dan keperluan asas lain seperti asrama dan juga Pejabat Perbadanan Stadium.
"Kerajaan negeri telah membelanjakan RM10 juta untuk membayar tanah rakyat di kawasan Bukit Merbau itu sebagai langkah awal untuk pembinaan kompleks sukan tersebut. Insya-ALLAH semuanya akan berjalan lancar nanti," katanya.
Wan Roslan juga memberitahu, satu sekretariat juga akan ditubuhkan untuk menjadi penggerak dan pemikir untuk pelaksanaan semua infrastruktur yang dirancang.
Malah beliau juga telah meminta MSN Kelantan untuk menyediakan satu pelan pembangunan atlet supaya Kelantan juga boleh menjuarai beberapa sukan pilihan dalam Sukma nanti dan bukan sekadar menjadi tuan rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!