Mahkamah AS benarkan muat turun TikTok

Aplikasi TikTok dari China mempunyai kira-kira 100 juta pengguna di Amerika Syarikat. - Foto AFP
Aplikasi TikTok dari China mempunyai kira-kira 100 juta pengguna di Amerika Syarikat. - Foto AFP
A
A
A

AMERIKA SYARIKAT - Seorang Hakim Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menolak perintah larangan muat turun TikTok yang dikenakan pentadbiran Presiden Donald Trump, lapor agensi berita Sputnik.

Dokumen mahkamah yang diterbitkan Axios pada Ahad itu menyebut Hakim Mahkamah Daerah di Washington, Carl Nichols memberikan perintah injunksi awal yang dikemukakan ByteDance untuk membolehkan TikTok tetap boleh dimuat turun di AS.

Larangan aplikasi perkongsian video milik syarikat China, ByteDance itu sepatutnya berkuat kuasa pada Ahad malam.

"Kami gembira dengan keputusan itu. Kami akan terus mempertahankan hak kami untuk kepentingan masyarakat dan pekerja kami," kata TikTok dalam satu kenyataan.

Menurut Rumah Putih muat turun aplikasi itu di Playstore Apple dan Google Play Android akan disekat mulai Ahad dan semua operasi TikTok di AS akan diharamkan pada 12 November kecuali syarikat itu menyerahkan ekuiti dan teknologi pengendalian tempatannya kepada sebuah firma Amerika.

Menurut dokumen mahkamah itu lagi hakim menolak permintaan TikTok untuk menangguhkan larangan 12 November.

Jabatan Perdagangan AS pada Ahad berkata, pihaknya sudah mengambil langkah segera untuk mematuhi injunksi itu.

Sekatan terhadap TikTok pada awalnya ditetapkan 20 September, tetapi ditangguhkan ke 12 November kerana pihak pentadbiran menawarkan jalan keluar kepada syarikat itu menerusi pengambilalihan.

Artikel Berkaitan:

Presiden AS mengatakan syarikat perisian Oracle dan gergasi runcit Walmart sedang dalam perbincangan terakhir mengenai perkara itu.

Namun, ByteDance tetap berkeras untuk mempertahankan 80 peratus kepentingannya dalam TikTok AS.

Trump berulang kali mengancam untuk mengharamkan TikTok di AS dengan alasan bimbang mengenai dakwaan kerajaan China mengintip data pengguna Amerika. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!