KBBM lonjak jualan produk BB’s
KEMPEN Beli Barangan Malaysia (KBBM) memberi impak besar kepada hasil jualan produk tempatan dan ia diakui oleh pengurusan Risk Ezy Solutions Sdn Bhd yang mempertaruhkan produk sejuk beku di pasaran.
Pengarah Urusannya, Mohamed Azman Shir Mohamed berkata, jualan tiga produk sejuk beku iaitu Whole Wheat Bread Cappatti, Paratha Original dan Roti Canai Classic telah mencatatkan peningkatan sebanyak 30 peratus menerusi KBBM.
Menurutnya, perkembangan memberangsangkan itu kesan daripada gerakan KBBM yang turut mendapat sokongan agensi-agensi kerajaan termasuk pasar raya besar seluruh negara.
“Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan kami melonjak sehingga 150 peratus. Kami berusaha memenuhi permintaan pasaran yang luar biasa ketika itu.
“Kini dengan adanya KBBM, walaupun jualan tidak mencapai seperti ketika PKP, ia masih menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus,” katanya ketika ditemui di premisnya di Desa Anggerik di Serendah, Selangor baru-baru ini.
Promosi
Beliau berkata, Risk Ezy Solutions Sdn Bhd telah bertapak dalam industri perusahaan makanan negara sejak 11 tahun lalu dengan menggunakan jenama BB’s bagi tiga keluaran produknya.
Katanya, ketika peringkat awal, BB’s mempertaruhkan produk BB’s Cappatti Fresh namun pengeluaran dihentikan dan ditukar kepada produk sejuk beku pada tahun 2014 susulan beberapa masalah yang dihadapinya.
Mohamed Azman berkata, kini jenama BB’s merekodkan pengeluaran produk sebanyak 16,000 keping setiap hari dan beliau yakin jumlah itu berpotensi untuk ditingkat lagi melalui KBBM.
Katanya, usaha promosi bersama yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah meningkatkan kesedaran pengguna untuk menyokong produk keluaran tempatan.
“Melalui usaha di bawah KBBM, rakyat Malaysia juga semakin sedar untuk menjadikan produk-produk tempatan sebagai pilihan utama ketika membeli.
“Kerjasama dengan pasar raya besar untuk menawarkan harga promosi juga menjadi pencetus untuk pengguna memilih produk-produk tempatan. Jenama BB’s tidak terkecuali menerima tempiasnya,” katanya.
Menurutnya, dengan usaha berterusan yang dilaksanakan di bawah KBBM, beliau yakin ia mampu meningkatkan permintaan pasaran tempatan secara konsisten seterusnya membantu pemulihan ekonomi negara.
“Sepanjang operasi syarikat kami, KPDNHEP juga telah banyak membantu memastikan syarikat kami mampu memenuhi permintaan pasaran secara konsisten,” kata beliau.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran Risk Ezy Solutions Sdn Bhd, Mohamed Arif Shir Mohamed berkata, cabaran yang dihadapi kebanyakan usahawan tempatan adalah aspek pemasaran.
Katanya, tanpa ilmu pemasaran yang berkesan, produk sukar dijual dan akan memberi kesan kepada pengeluaran produk secara konsisten.
Bersemangat
Namun, ujarnya, KBBM telah memberikan nilai tambah dalam aspek itu menjadikan lebih banyak ruang diberikan kepada produk-produk tempatan untuk mendapat ruang pamer yang lebih terbuka.
“Kebanyakan kami usahawan tempatan tidak seperti syarikat-syarikat besar lain yang mempunyai peruntukan untuk ruang promosi. Jadi KBBM telah menyediakan ruang lebih besar kepada produk tempatan untuk ditempatkan di rak-rak utama pasar raya besar.
“Ruang lebih besar akan memberi kesedaran kepada pengguna tentang kewujudan produk-produk tempatan, seterusnya meningkatkan jualan,” katanya.
Beliau berkata, setiap inisiatif yang di bawah KBBM menjadikan pengeluar produk-produk tempatan lebih bersemangat untuk terus
menyumbang dalam industri.
“Produk tempatan yang berpotensi besar mendapat pengecualian yuran penyenaraian untuk masuk ke pasar raya besar dan ini membantu syarikat seperti kami,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!