Tiga kali disaring, Asyraf Wajdi disahkan negatif Covid-19

Asyraf Wajdi berkongsi foto seorang kakitangan perubatan menggunting gelang pada tangan tanda bebas Covid-19 di Facebooknya hari ini. - Foto Facebook Dr Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi berkongsi foto seorang kakitangan perubatan menggunting gelang pada tangan tanda bebas Covid-19 di Facebooknya hari ini. - Foto Facebook Dr Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki disahkan bebas koronavirus (Covid-19) selepas menjalani dua ujian saringan di hospital swasta dan ujian ketiga dilakukan di klinik kesihatan kerajaan.

"Dua ujian saringan terawal dibuat di hospital swasta dengan bayaran yang boleh dianggap mahal juga manakala ujian ketiga di klinik kesihatan kerajaan secara percuma," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Justeru, beliau menasihati individu yang negatif pada saringan pertama menjalani kuarantin selama 14 hari supaya dapat memantau diri sendiri kerana virus mungkin ada dalam badan tetapi tidak dapat dikesan pada peringkat awal saringan.

"Alhamdulillah, keputusan saringan kali ketiga juga negatif. Ini membolehkan mendapat pelepasan daripada terus dikuarantinkan.

"Dalam tempoh 14 hari, jika ada sebarang simptom seperti demam, batuk, selesema atau sakit tekak, mesti segera buat ujian kali kedua," katanya di media sosial itu.

Beliau juga menekankan supaya setiap individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, mengelakkan bersalam atau bersentuhan dan sentiasa membasuh tangan atau membawa sanitiser.

Menurut Asyraf, beliau menjalani ujian antigen rapid kali pertama dengan mengambil spesimen daripada hidung dan keputusan diperoleh dalam tempoh satu atau dua jam serta ketepatan adalah 80 peratus.

"Ujian PCR kali dua diambil melalui hidung dan mulut. Keputusannya paling awal dalam tempoh 24 jam dan ketepatan ujian 99.9 peratus. Manakala keputusan ujian kit antibodi kali ketiga boleh diperoleh dalam tempoh 20 minit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!