Bomoh kerap guna haiwan eksotik?
Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (Gapera) tidak menolak kemungkinan minat pembeli haiwan eksotik bukan hanya sebagai haiwan peliharaan tetapi digunakan untuk perubatan.
Setiausaha Agungnya, Dr Amir Ahahmi Md Ali berkata, kebiasaannya perubatan Cina menggunakan haiwan eksotik dalam ramuan ubat-ubatan.
Sementara menurutnya, bagi perubatan Melayu pula terbahagi kepada dua iaitu pertamanya yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan keduanya pula adalah perbomohan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
ARTIKEL BERKAITAN: Penjual hidupan eksotik haram diburu
"Perbomohan inilah yang sering kali menjadikan haiwan eksotik dan amalan pelik-pelik untuk kesihatan atau untuk tujuan tertentu seperti untuk kebal, mahupun menyihir musuh menggunakan haiwan eksotik.
"Saya sendiri ada menerima pesakit yang pada awalnya menggunakan kuku harimau sebagai tangkal untuk menjadi kebal, namun akhirnya tangkal berkenaan menjadi pendamping sehingga dirinya menjadi panas baran," katanya yang juga pengasas Akedemi Nur Sufi di Batu Caves, Selangor.
Amir berkata, kebiasaannya penggunaan minyak dari haiwan eksotik paling popular digunakan sebagai sapuan luaran oleh masyarakat untuk menguatkan fungsi tenaga batin.
"Ada minyak belacak, minyak lintah, minyak dhap dan tak kurang juga minyak kambing gurun untuk menguatkan fungsi lelaki berkenaan.
"Ini antara yang digunakan, namun kita berharap agar amalan serta kecenderungan masyarakat dalam penggunaan haiwan eksotik ini tidak akan tersasar serta bertentangan dengan ajaran Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!