'Bukan salah pemain'
PENGENDALI Bayern Munich, Hansi Flick tidak menyalahkan pemain di sebalik kekalahan mengejut 1-4 kepada Hoffenheim dalam aksi Bundesliga di Rhein-Neckar-Arena, semalam.
Menurutnya, segalanya serba tidak menjadi buat kelab gergasi Jerman itu dan dia akan mencari jalan penyelesaian dan tidak menolak faktor keletihan menjadi punca kekalahan tersebut.
Bayern mengharungi jadual padat dalam tempoh 72 jam dengan terpaksa bermain selama 120 minit ketika menang ke atas Sevilla dalam aksi Piala Super UEFA sebelum turun bertemu Hoffenheim, semalam.
"Ada banyak sebab menyumbang kekalahan tersebut, namun saya tidak boleh menyalahkan pemain 100 peratus. Mereka menunjukkan permainan bagus ketika menentang Sevilla yang menyaksikan kami perlu bermain selama 120 minit.
"Dalam perlawanan tadi (semalam), kami memberikan lawan terlalu banyak ruang dan kami tidak efektif dalam melakukan serangan seperti yang kami lakukan sebelum ini," katanya.
Dalam perlawanan itu, Ermin Bicakcic dan Munas Dabbur meletakkan Hoffenheim di hadapan sebelum Joshua Kimmich merapatkan kedudukan buat Bayern sebelum separuh masa pertama berakhir.
Penyerang Hoffenheim, Andrej Kramaric meledak tambahan dua gol pada sepasuh masa kedua untuk memastikan rekod 32 kali kemenangan Bayern terpadam.
"Satu pujian kepada Hoffenheim. Mereka menunjukkan persembahan yang sangat cemerlang. Mereka menutup ruang untuk kami dan jelas kami tidak mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol.
"Saya tidak menyalahkan faktor keletihan sebagai punca kekalahan ini sebab ia sebagai sesuatu yang tidak patut. Kami tidak bermain baik dan pasukan lawan lebih bagus. Itu sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!