Kereta bertembung selepas langgar tapir melintas
DUNGUN - Akibat terlanggar seekor tapir yang melintas, dua buah kereta bertembung dalam kejadian di Kilometer 8 Jalan Dungun-Bukit Besi, berhampiran loji air Kampung Serdang di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi itu menyebabkan kedua-dua pemandu kereta terbabit cedera.
Tapir berkenaan turut mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan badan.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 50-an dari arah Bukit Besi menghala ke Dungun hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum berlaku pertembungan berkenaan.
"Pemandu kereta Proton Iswara itu dikatakan tidak sempat memberhentikan kenderaan lalu melanggar seekor tapir yang secara tiba-tiba melintas dipercayai hendak masuk ke hutan berhampiran.
"Kenderaan dipandunya itu terbabas ke laluan bertentangan. Pada waktu sama, datang sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 30-an dari arah bertentangan, lalu bertembung sesama sendiri.
"Akibatnya, kedua-dua pemandu itu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau berkata, tapir berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!