Pacuan empat roda terbabas, pemandu maut
RAUB - Seorang lelaki maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas di Kilometer 16 Jalan Sungai Ruan-Lembah Klau di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa, Neng Sai Mun, 28, dari Sungai Ruan di sini meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raub kira-kira jam 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, polis menerima panggilan daripada Hospital Raub yang menyatakan satu kemalangan telah berlaku di tempat kejadian membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux yang terbabas sendiri.
Ketika kejadian, katanya, Hilux terbabit dalam perjalanan dari arah Lembah Klau ke Sungai Ruan.
"Pemandu Hilux berkenaan telah hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di hadapan sebuah rumah dan kedai makan yang berada berhampiran.
"Hasil siasatan mendapati punca kemalangan dipercayai akibat kenderaan tersebut dipandu laju dan hilang kawalan, lalu terbabas sendiri.
"Bagaimanapun, kita sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan. Kenderaan yang rosak dan remuk di bahagian hadapan itu dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kama Azural berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!