Pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri tepat: PBS
KOTA KINABALU - Pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu dilihat sebagai satu pilihan tepat.
Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, keputusan tersebut selaras dengan cadangan dan pendirian PBS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berdasarkan keputusan pilihan raya Sabtu lalu.
"Kami yakin dengan sokongan ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau (Hajiji) mampu melaksanakan tugas dengan baik berdasarkan pengalaman yang luas sebagai menteri kanan di Kabinet Negeri Sabah.
"Pengalaman luas beliau sebagai wakil rakyat selama tujuh penggal juga amat berharga untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya yakin beliau dapat memimpin dan mentadbir negeri ini sebagai Ketua Menteri untuk semua rakyat Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Hajiji terima watikah pelantikan Ketua Menteri Sabah
Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Negeri Sabah dan Sarawak) berharap dapat bekerjasama bersama Hajiji dan menawarkan sokongan dalam pembentukan kerajaan baharu.
"Kami yakin bahawa melalui pembentukan kerajaan Sabah yang baharu di bawah GRS akan dapat mencipta pencapaian dan rekod yang boleh dibanggakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!