Sampai bila mahu buang sampah merata-rata?
KITA semua memang benci dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang tidak menjaga kebersihan terutama di tempat-tempat awam.
Sampai bila tabiat buruk membuang sampah merata-rata tanpa memikirkan kesan terhadap orang lain dan alam sekitar akan berubah.
Kemarahan Merak Jalanan begitu membuak-buak kerana ada beberapa individu kini menjadi sukarelawan untuk mengutip pelitup muka yang dibuang di merata-rata tempat.
Bayangkan penduduk di Kampung Sijangkang Sempadan Batu 7, Kuala Langkat, Selangor yang menganjurkan Program Kayuh Kutip Kumpul Lupus Nyah Covid-19 kelmarin telah mengutip sebanyak satu tan pelitup muka dan sampah kecil dalam jarak lima kilometer selama empat jam.
Tidak cukup dengan itu, sebuah laman Facebook yang mengkhusus dalam aktiviti berkhemah turut memuat naik banyak gambar yang menunjukkan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong telah dicemari dengan sampah.
Memang kalau hendak cari salah, sepatutnya perkara itu menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT). Namun, kita juga harus mempunyai rasa tanggungjawab dalam diri untuk tidak membuang sampah di merata-rata tempat.
Mentaliti kita harus berubah jika kita ingin menjadi seperti negara-negara maju yang lain. Sebagai contoh, rakyat Jepun boleh dijadikan model terbaik dalam hal-hal berkaitan disiplin dan kebersihan.
Lihat sahaja longkang-longkang di negara matahari terbit itu yang begitu bersih sehingga ikan-ikan dapat hidup dengan baik.
Ada seorang teman memberitahu Merak Jalanan, disebabkan Jepun sering dilanda musibah seperti tsunami dan gempa bumi menyebabkan mereka begitu menghargai erti sebuah kehidupan.
Adakah apabila Malaysia dilanda musibah, baru kita hendak menyesal pada kemudian hari dan mula menghargai apa yang ada di sekeliling kita?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!