Lokasi hotspot berdasarkan siasatan terperinci KKM
KUALA LUMPUR - MySejahtera menjelaskan bahawa lokasi yang dianggap sebagai hotspot Covid-19 di Hotspot Tracker adalah berdasarkan siasatan terperinci oleh Kementerian Kesihatan (KKM) setelah mengesahkan punca jangkitan atau kebolehjangkitan.
MySejahtera berkata demikian dalam kenyataan sebagai respons kepada kebimbangan yang dikongsi netizen di media sosial hari ini bahawa Hotsport Tracker menyatakan tiada kes Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 28 hari lepas dalam lingkungan satu kilometer dari kawasan yang kes Covid-19 telah dilaporkan.
Netizen bimbang dengan laporan bahawa NuSentral Mall, Gateway Mall, Sunway Pyramid Mall dan Suria KLCC telah melaporkan kes positif Covid-19 tetapi ia tidak dikesan dalam Hotspot Tracker.
MySejahtera berkata, kesemua pusat beli-belah berkenaan bukan punca jangkitan mahupun potensi penyebaran virus Covid-19.
“Penghargaan harus diberikan kepada tindakan proaktif pusat beli-belah berkenaan kerana menjalankan kerja pembersihan serta disinfeksi kerana ia adalah sebahagian daripada tindakan kawalan dan pencegahan KKM.
“Kami ingin menyampaikan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang telah menggunakan pelbagai fungsi aplikasi MySejahtera dan ternyata masyarakat cakna dengan perkembangan kes Covid-19 di sekitar mereka. Kami juga ingin menasihatkan orang ramai agar berkongsi maklumat yang terbukti kesahihannya agar tidak menimbulkan panik dalam masyarakat,” menurut kenyataan itu.
MySejahtera adalah aplikasi yang dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu menguruskan pandemik Covid-19 di negara ini. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Aplikasi MySejahtera dapat kesan penduduk yang lari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!