PM ucap terima kasih atas pencalonan Hajiji, hargai setiakawan GRS
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) atas persetujuan mencalonkan Pengerusi PN Sabah, Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menyifatkan persepakatan itu membuktikan kerjasama erat parti-parti di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepanjang Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah mendapat sokongan rakyat negeri itu.
"Saya sangat menghargai semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh parti-parti dalam gabungan ini demi kepentingan dan masa depan rakyat Sabah," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya malam ini.
Dalam kenyataan sama, Muhyiddin juga mendoakan semoga Sabah terus kekal menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur.
Terdahulu, GRS sebulat suara menamakan Hajiji sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.
ARTIKEL BERKAITAN: Hajiji dipanggil menghadap TYT Sabah
Pelantikan Hajiji dibuat secara konsensus, kata Annuar Musa
Bung sokong Hajiji jadi KM Sabah
Hajiji yang juga ADUN Sulaman mengesahkan perkara itu dan beliau dijangka mengangkat sumpah jawatan di Istana Negeri pada 10 pagi esok.
Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pula dilaporkan bersetuju melantik Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menang atas tiket PN dengan majoriti 3,099 undi sekali gus mempertahan kerusi Sulaman yang disandangnya sejak 1990.
Beliau menewaskan anak saudaranya, Datuk Aliasgar Basri daripada Warisan yang mendapat 2,820 undi dan calon Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Rekan Hussien (253 undi).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!