Glomac catat prestasi kewangan kukuh
GLOMAC Berhad (Glomac) melaporkan pendapatan sebanyak RM46.9 juta manakala untung sebelum cukai meningkat sebanyak 10.8 peratus kepada RM5.3 juta bagi suku pertama tahun kewangan semasa yang berakhir 30 April 2021.
Dalam kenyataannya, Glomac berkata, hasil lebih rendah daripada suku tahun sama tahun lalu susulan penggantungan kerja pembinaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, keadaan diimbangi penjimatan kos daripada pembinaan bagi Saujana KLIA, menghasilkan margin dan keuntungan lebih tinggi pada suku tahun yang dilaporkan.
"Pendapatan hasil bagi suku tahun yang dilaporkan disumbangkan terutamanya oleh fasa-fasa pembinaan yang sedang dijalankan di Saujana Perdana, Saujana Rawang dan Plaza@Kelana Jaya.
"Sehingga 31 Julai 2020, lembaran imbangan (balance sheet) Glomac kekal kukuh dengan kedudukan tunai sebanyak RM171.2 juta.
"Hutang bersih masih juga rendah iaitu pada tahap 0.28x berbanding dana pemegang saham berjumlah RM1.1 bilion. Aset bersih sesaham pula berada pada tahap RM1.42," menurut kenyataan itu.
Pada suku tahun yang dilaporkan, jualan baharu berganda kepada RM50 juta berbanding S1TK20, dipacu oleh permintaan berterusan bagi fasa-fasa kediaman Saujana Perdana di Sungai Buloh dan pangsapuri 121 Residences.
Prestasi jualan kukuh ini, walaupun semasa PKP mendorong jualan belum dibil ke paras RM660 juta.
Kata kenyataan itu, prestasi jualan S1TK21 yang memuaskan itu dicapai berbekalkan campuran produk yang sesuai dan kekuatan projek pembangunan Glomac dan penekanan kukuh terhadap strategi pemasaran digital.
Meninjau suku-suku tahun seterusnya, prestasi jualan dan kewangan Glomac dijangka dapat dikekalkan, dipacu oleh jualan belum dibil sebanyak RM660 juta dan penyambungan aktiviti pembinaan selepas PKP.
Tambahan lagi, Glomac bercadang melancarkan lebih banyak projek baharu pada TK21.
"Pelancaran baharu ini terdiri daripada projek kediaman pasaran pertengahan dan rumah mampu milik di Saujana Perdana di Sungai Buloh, Saujana KLIA di Sepang dan Saujana Jaya di Kulai, Johor.
"Dalam tempoh yang mendatang, Glomac akan terus menjadualkan pelancaran baharunya secara strategik, memanfaatkan portfolio pembangunan kukuh dengan Nilai Pembangunan Kasar (NPK) dianggarkan berjumlah RM8 bilion yang bakal memacu prestasi Kumpulan pada tahun-tahun akan datang," menurut pemaju perumahan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!