Dijel 2 tahun, dera anak tiri dengan pisau panas

Khairunnisa dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
Khairunnisa dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Seorang ibu muda terpaksa meringkuk dalam penjara selama dua tahun selepas didapati bersalah menganiaya dan mencederakan anak tirinya menggunakan sebilah pisau yang dipanaskan pada 20 September lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Siti Aminah Ghazali turut mengarahkan Khairunnisa Abdullah, 24, menjalani hukuman dari tarikh tangkap iaitu pada 22 September lalu.

Tertuduh juga dikenakan bon berkelakuan baik dengan pengawasan selama tiga tahun, melakukan khidmat masyarakat selama 120 jam dan melaporkan diri di Balai Polis Cenderawasih, Rompin setiap bulan selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Khairunnisa yang merupakan pekerja ladang mengaku menganiaya anak tirinya yang berusia sembilan tahun dengan cara meletakkan pisau berukuran lapan sentimeter yang telah dipanaskan di atas lengan kanan kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Perumahan Ladang Suburban Chenderawasih, Muadzam Shah, Rompin, jam 3 petang, pada 20 September lalu.

Wanita itu mengaku bersalah mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak sampai RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Sebelum itu, peguam Mohd Faizal Hiqram Azmi yang mewakili tertuduh meminta hukuman penjara minimum dengan mengenakan syarat tambahan terhadap anak guamnya kerana merupakan kesalahan pertama selain perlu diberi peluang untuk berubah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Nurul Syuhada Tuan Mamat meminta mahkamah mengambil kepentingan awam daripada kepentingan peribadi.

Artikel Berkaitan:

Pada 22 September lalu, akhbar tempatan melaporkan seorang kanak-kanak melecur pada lengan serta lebam di dada dan paha dipercayai didera ibu tirinya di rumahnya dekat Muadzam Shah, Rompin.

Perkara itu terbongkar selepas mangsa berusia sembilan tahun memaklumkannya kepada guru sekolah pada 7.30 pagi selepas sehari kejadian tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!