Wabak Chikungunya dikesan di Kulim

 Seramai 28 individu disahkan dijangkiti chikungunya membabitkan dua lokaliti di Kulim.
Seramai 28 individu disahkan dijangkiti chikungunya membabitkan dua lokaliti di Kulim.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 28 individu disahkan dijangkiti chikungunya membabitkan dua lokaliti di Kulim.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, lokaliti pertama wabak itu dikesan di Flat Jati pada 2 September lepas dan setakat ini menjangkiti 23 individu, manakala satu lagi dikesan di Taman Sawi pada Ahad lalu dengan lima individu telah dijangkiti.

“Kesemua individu ini menunjukkan pelbagai gejala antaranya demam, sakit sendi dan ruam. Wabak di flat berkenaan dijangka tamat esok, manakala wabak di lokaliti Taman Sawi dijangka berakhir pada 12 Oktober depan.

Bagaimanapun kita akan terus pantau keadaan di kedua-dua lokaliti ini bagi memastikan tiada kes baharu, langkah-langkah kawalan juga telah dilakukan di kedua-dua lokaliti berkenaan dan ketika ini keadaan adalah terkawal,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mohd Fikri menasihatkan orang ramai terutama yang tinggal di kawasan wabak segera mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala seperti demam, pening kepala dan sakit sendi.

“Orang ramai juga disaran menjalankan pemeriksaan kendiri di kediaman masing-masing serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes, selain menggunakan semburan aerosol di dalam rumah pada waktu puncak nyamuk aedes aktif iaitu dari jam 6 pagi hingga 8 pagi dan 6 petang hingga 8 malam,” katanya.

-Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!