KKM nafi kluster Sabah merebak ke Semenanjung
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menafikan penularan berita palsu berhubung kluster Sabah yang merebak di Semenanjung selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu Sabtu lalu.
KKM menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini berkata, maklumat yang disebarkan di media sosial dengan menyenaraikan lokasi yang dijangkiti wabak itu tidak tepat seperti ditularkan.
Memetik kenyataan itu, KKM mengambil langkah disinfeksi dan nyahkuman ke atas lokasi-lokasi yang terdapat kes positif.
"Selepas proses ini (disinfeksi), ia selamat untuk dikunjungi dengan mematuhi SOP (prosedur operasi standard)," memetik kenyataan itu.
Terdahulu, berita palsu dengan tajuk 'Covid-19 Cases Reported' mula bertebaran di aplikasi WhatsApp dan Facebook sejak semalam dengan menyenaraikan 23 lokasi sekitar Lembah Klang yang dikaitkan dengan Covid-19 kluster Sabah.
Antara lokasi yang tersenarai UOB Kepong, CIMB Kota Damansara, Sunway Pyramid, Aeon Nilai, Kolej Tunku Kurshiah, Kondominium Desa Green, pejabat KL Gateway dan KPJ Rawang.
Kenyataan menyebut, maklumat tidak tepat sebegini boleh menjejaskan pihak lain selain menyarankan orang ramai tidak menyebarkan berita palsu.
"Elakkan stigma dan dapatkan maklumat yang betul," tulisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!